Formula 1 Singapore Airlines Singapore Grand Prix 2026 bukan sekadar menjanjikan aksi perlumbaan penuh adrenalin, malah kembali menghidupkan Marina Bay Street Circuit dengan barisan artis bertaraf dunia. Antara pengumuman paling mencuri perhatian tahun ini sudah pastinya kemunculan kumpulan K-pop Cortis dan Zara Larsson sebagai salah satu headliner Padang Stage.

Bakal berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober 2026, penganjur Singapore GP Pte Ltd mengumumkan beberapa nama baharu yang bakal menghangatkan pentas hiburan sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Di Padang Stage, Zon 4, peminat K-pop boleh menantikan persembahan Cortis pada Jumaat, 9 Oktober, yang turut berkongsi pentas bersama legenda Mandopop, JJ Lin. Kehadiran Cortis dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti, sekali gus mengukuhkan lagi status mereka sebagai salah satu nama besar yang bakal menggegarkan festival muzik Formula 1 tahun ini.
Keseronokan diteruskan pada Sabtu, 10 Oktober menerusi persembahan bintang pop Sweden, Zara Larsson, sebelum penyanyi dan penulis lagu Britain, James Arthur, mengambil alih pentas pada Ahad, 11 Oktober.
Sementara itu, di Wharf Stage, Zon 1, ikon muzik dunia Janet Jackson melengkapkan senarai headliner Ahad, menyertai nama-nama yang telah diumumkan sebelum ini termasuk Mark Ronson, DJ Snake, Major Lazer Soundsystem, Goo Goo Dolls, Rev Run dan Split Enz.
Sepanjang tiga hari acara berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan lebih 100 jam persembahan secara langsungmembabitkan artis dari seluruh dunia. Antara nama lain yang turut memeriahkan festival ialah HYO, Spacey Jane, Ocean Alley, Ape Drums, Ezra Collective, Shingo Nakamura serta duo New York Tinzo + Jojo dari Book Club Radio.
Barisan artis pelbagai genre ini akan membuat persembahan di 10 pentas dan zon hiburan bertema yang tersebar di sekitar Marina Bay Street Circuit, menawarkan pengalaman festival yang sama meriah dengan aksi perlumbaan Formula 1.
Penganjur turut memaklumkan bahawa lebih ramai artis akan diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan senarai persembahan tahun ini.
Bagi yang ingin menyaksikan barisan artis antarabangsa ini secara langsung, tiket Formula 1 Singapore Airlines Singapore Grand Prix 2026 masih ditawarkan dalam kuantiti terhad. Semua pemegang tiket mempunyai akses ke persembahan di Padang Stage (Zon 4), manakala persembahan di Wharf Stage (Zon 1) memerlukan tiket Zon 1 yang sah.
Anda boleh beli di www.singaporegp.sg dan di official resellers.
Baca: Rancangan Netflix Sepanjang Julai 2026, Tentang Cinta!








