Berita mengejutkan namun mengujakan peminat K-Pop! Bintang kesayangan BLINK, Jennie dilaporkan sedang menjalin hubungan dengan penyanyi utama BigBang, G-Dragon.
Portal hiburan Dispatch mendedahkan bahawa kedua-dua penyanyi itu telah bercinta selama setahun. Jennie dan G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji-yong berada di bawah naungan agensi pengurusan yang sama, YG Entertainment.
Portal yang dikenali kerana membongkar kehidupan cinta selebriti ini turut berkongsi beberapa foto yang membuktikan Jennie berulang-alik dari penthouse mewah G-Dragon di Hannam ke tempat kerjanya. Mereka menjadikan lokasi itu sebagai tempat berjanji temu.
Difahamkan, kediaman tersebut dilengkapi sistem keselamatan yang ketat dan mempunyai dua pintu masuk berbeza, cukup sesuai untuk pasangan selebriti berprofil tinggi seperti mereka.
Kali terakhir Jennie dilihat meninggalkan penthouse itu adalah pada hujung Januari lalu, menuju ke lokasi konsert maya Blackpink di Pusat Pameran Antarabangsa Korea, KINTEX. Malah kereta penyanyi BigBang itu juga berada di lokasi yang sama.