Walau bakatnya diiktiraf dengan kemenangan Best Supporting Actor in a Drama Film di Golden Globes 2021, hakikatnya Daniel Kaluuya pernah berdepan dengan pengalaman buruk sepanjang bergelar anak seni.
Kaluuya mendedahkan, dia pernah dianak tiri dalam industri dan tidak dijemput menghadiri tayangan perdana Get Out yang berlangsung di Festival Filem Sundance 2017 walaupun memegang peranan utama dalam filem tersebut.
Dia menjelaskan perkara itu ketika menjadi tetamu undangan di Graham Norton Show untuk mempromosi filem terbaharu, Judas and the Black Messiah yang turut dibintangi pelakon gandingannya dalam Get Out, Lakeith Stanfield.
Ketika tayangan perdana filem tersebut, Kaluuya sedang sibuk dengan penggambaran Black Panther namun mengesahkan telah mengosongkan jadual semata-mata untuk menghadiri acara tersebut. Malangnya, jemputan tidak pernah sampai ke tangannya.
Katanya kepada Norton, “Mereka tidak menjemput saya. Ketika tayangan perdana di Sundance, saya berada di Atlanta untuk penggambaran Black Panther. Saya teruja untuk menghadirinya, jadi saya kosongkan jadual.
“Namun saya tidak menerima apa-apa jemputan. Saya langsung tidak dijemput. Jadi saya hanya melepak di atas katil, dan seseorang menghantar pesanan teks kepada saya, ‘Semuanya berjalan dengan lancar,’ dan saya menjawab, ‘Okey, bagus.’”
Dia kemudian menambah dengan nada kecewa, “Begitulah industri ini, Graham.”