Sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza menerima gelaran Datuk Seri pula kali ini.
Penganugerahan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada legenda negara itu berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang hari ini.
Ketika upacara istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran negeri Pahang tersebut, Datuk Seri Siti turut ditemani suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Menerusi laman Instagramnya, Datuk Seri Siti turut mengeluarkan kenyataan media berhubung perasaannya yang penuh rasa syukur pabila menerima darjah tersebut yang dianggap satu penghormatan buat dirinya yang sudah 21 tahun berada di dalam bidang seni.
Jelasnya, penganugerahan tersebut ibarat rezeki buatnya serta bayi dalam kandungannya sekarang ini.
Selain dari Datuk Seri Siti, tiga orang selebriti lain turut menerima anugerah kebesaran iaitu pelakon Datuk Eizlan Yusof atau nama sebenarnya Datuk Idris Md Yusof yang mana menerima SSAP, Ketua Pengarah Eksekutif Jovian Mandagie Sdn. Bhd, Jovian Mandagie dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.
Adi Putra atau nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim menerima Darjah Inder Mahkota (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.