Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Instagram Datuk Vida
Datuk Seri Dr Hasmizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida bakal menghasilkan sebuah filem yang berlatar belakangkan kisah hidupnya. Namun, ianya tidaklah sepenuhnya seakan biografi menurutnya.
“Ia memang mengambil sedikit perjalanan kehidupan saya, tetapi bukanlah biografi semata-mata,” ujar beliau.
Antara pelakon lelaki yang bakal menerajui watak utama dalam filem tersebut adalah Nabil Ahmad, Zul Arifin, Aaron Aziz dan Sharnaaz Ahmad. Ianya bakal memulakan penggambaran pada bulan Mei nanti.
Namun Datuk Vida hanya akan memilih dua aktor sebagai teraju utama. Manakala bagi aktres dalam filem tersebut antaranya adalah Zahirah Macwilson, Jihan Muse, Anzalna Nasir dan Emma Maembong. Nama-nama tersebut adalah antara nama yang disenaraikan untuk memegang watak utama wanita.
“Nama watak utama lelaki dan wanita yang sudah berada dalam fikiran saya mempunyai pengaruh serta impak dalam industri hiburan. Malah, saya percaya, siapa saja yang akan menerajui filem itu nanti, mampu menarik penonton ke pawagam. “Begitu pun, saya enggan terburu-buru, sebaliknya mahu merealisasikan penerbitan pertama di bawah jenama Datuk Vida setanding dengan hasil penerbit berpengalaman. “Saya menginginkan hasilnya nanti mencetuskan revolusi dalam industri perfileman tanah air. Portfolio baharu ini akan saya galas sebaik mungkin, termasuk terbabit secara langsung dalam setiap proses prapenerbitan sehinggalah pembikinan,” jelasnya kepada BH Online.
Bahkan, Datuk Vida meletakkan Ghaz Abu Bakar sebagai nama teratas di dalam senarai sutradara yang bakal mengarahkan filem terbitan Datuk Vida ini.
“Saya yakin Ghaz mampu menterjemahkan sebuah karya seperti yang saya harapkan. Ia memang mengambil sedikit perjalanan kehidupan saya, tetapi bukanlah biografi semata-mata. “Sebagai penggemar filem, saya faham nilai komersial dengan menitik beratkan sinematografi, pemilihan pelakon, skrip dan elemen sokongan lain. Kalau boleh, memang saya hendak berlakon, namun kekangan masa membataskan. “Apa yang pasti, tugasan saya nanti lebih kepada belakang tabir, tetapi ada kejutan yang menanti penonton,” tambah Datuk Vida lagi.