David Beckham merupakan selebriti terkini yang bakal tampil dengan dokumentari terbitan platform penstriman tersohor, Netflix.
Siri dokumentari bernilai RM89 juta itu menelusuri perjalanan hidup dan kerjaya David Beckham dari awal kemunculan sebagai pemain bola sepak amatur di London sehingga menjadi salah seorang atlet paling berpengaruh dalam generasinya. Ia menyaksikan gabungan hebat dua pemenang Oscar di belakang tabir iaitu Fisher Stevens (Palmer, And We Go Green, The Cove) sebagai pengarah dan penerbit eksekutif di samping John Battsek (One Day in September, Searching for Sugar Man, Winter on Fire).
David Beckham mengesahkan tentang penerbitan dokumentari yang belum diberi judul itu buat kali pertama dalam satu perkongsian di Instagram pada Julai 2022. “Ia akan menampilkan rakaman yang tidak pernah dilihat, kisah yang tidak pernah diceritakan, dan temu bual bersama mereka yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.”
Menurut The Guardian, legenda bola sepak itu juga membincangkan pengalamannya menghidap kecelaruan obsesif kompulsif atau lebih dikenali sebagai OCD. Ia adalah isu penyakit mental di mana seseorang mempunyai pemikiran obsesif dan tingkah laku kompulsif. Secara ringkasnya, ia adalah gangguan psikiatri yang mempengaruhi pemikiran dan kelakuan penderita.