Pengalaman Sebagai Penderita OCD
David Beckham berkata, menjalani kehidupan dengan OCD amat memenatkan. Kebiasaannya dia akan menghabiskan masa berjam-jam membersih dan mengemas rumah pada waktu malam setelah semua ahli keluarganya tidur.
“Apabila semua orang sudah masuk tidur, saya akan periksa keseluruhan rumah, bersihkan bekas lilin, malapkan lampu, pastikan semuanya bersih dan kemas. Saya tidak suka bangun pagi dan lihat ada cawan, pinggan atau mangkuk bersepah. Saya akan buang lebihan lilin, bersihkan bekasnya. Apa yang menjengkelkan saya adalah kesan asap pada bahagian atas lilin.” Dia menambah: “Ya, saya tahu ia pelik.”
Apabila kru kamera memuji kebersihan dapurnya, David Beckham menyebut nama isteri, Victoria Beckham. “Saya membersihkannya dengan bersungguh-sungguh. Namun sejujurnya saya tidak pasti adakah isteri saya benar-benar menghargainya.” Bekas ahli kumpulan Spice Girls itu kemudian mengakui bahawa dia amat menghargai hasil kerja suaminya yang sempurna.
Ini bukanlah kali pertama bekas atlet itu mendedahkan pengalamannya menghidap OCD. Dia pernah bercakap mengenainya dalam temu bual bersama ITV pada 2006. “Saya mengalami kecelaruan obsesif kompulsif di mana saya perlu melihat semua benda dalam keadaan lurus atau perlu mempunyai berpasangan. Itulah masalah yang saya hadapi. Apabila mendaftar masuk ke hotel, saya perlu menyimpan semua risalah dan buku-buku ke dalam laci sebelum boleh berehat. Semuanya perlu sempurna.”
Selain David Beckham, selebriti lain yang pernah didiagnos menghidap OCD adalah Howie Mandel, Camila Cabello dan Lena Dunham.
Baca: Kediaman Mewah Victoria & David Beckham Diceroboh Perompak