Umum tahu Dayang Nurfaizah dan Malique baru sahaja melancarkan lagu duet mereka bulan Februari lalu yang berjudul Pejamkan Mata.
Namun, Dayang sendiri menegaskan di mana dia lebih selesa untuk menyanyikan lagu tersebut jika penyanyi asalnya iaitu Malique tampil bersama untuk mempersembahkan lagu tersebut.
“Itu lagu dia dan kami berkolaborasi selepas Malique menghubungi saya untuk berduet bersama-sama. Jika ada yang mahukan saya menyanyi lagu Pejamkan Mata, saya mahu dia (Malique) ada sekali tetapi bergantung juga pada keadaan sebenarnya,” jelas Dayang kepada portal Astro Gempak.
Biarpun begitu, Dayang masih lagi menjalankan tanggungjawabnya dalam mempromosikan lagu tersebut. Tambahnya lagi, dia bukan tidak mempromosikan lagu tersebut dengan sepenuhnya, tetapi kerana hakikatnya lagu tersebut adalah lagu Malique.
“Tetapi proses promosi harus dilakukan daripada pihak dia (Malique). Jika dia perlukan saya kenapa tidak saya membantunya untuk mempromosi sebab lagu itu memang karya yang berkualiti,” kata penyanyi lagu Lelaki Teragung itu.
Meskipun proses rakaman lagu tersebut dilakukan berasingan dengan Malique dan hanya berhubung menerusi panggilan telefon, Dayang akui yang dia senang bekerja bersama Malique.
Lagu Pejamkan Mata merupakan hasil ciptaan Malique. Ia disertakan di dalam album TKO di bawah label Qarma Musiq. Malique mula mendiamkan diri dari industri hiburan tanah air sejak kumpulan Too Phat menamatkan pengembaraan seni pada tahun 2006 bersama Joe Flizzow.