Dengan barisan lagu yang kuat dan variasi emosi yang ditampilkan, Anugerah Juara Lagu ke-40 dilihat bersedia untuk sekali lagi mencipta sejarah! Persoalannya kini, siapakah yang bakal melangkah ke pentas akhir dan seterusnya dinobatkan sebagai juara?
Tirai penentuan menuju pentas paling berprestij muzik tanah air, Anugerah Juara Lagu ke-40, kini semakin hampir.
Debaran kian terasa apabila senarai 20 lagu yang bakal berentap di peringkat Separuh Akhir akhirnya diumumkan secara rasmi, merungkai teka-teki yang selama ini menjadi bualan hangat peminat muzik tempatan.
Bersempena ulang tahun ke-40 penganjuran, TV3 tampil dengan pendekatan berbeza apabila menyenaraikan 20 karya terbaik untuk bersaing di pentas Separuh Akhir yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 April ini.
Berikut senarai 20 lagu yang bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-40:
1. Hijab Rindu (nyanyian Black Hanifah, gubahan oleh Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelana dan Adi Pawana, lirik oleh Adi Pawana dan Rudy Nastia)
2. Nurcinta (nyanyian Amir Masdi, gubahan dan lirik oleh Amir Masdi & Edry Abd. Halim)
3. Nostalgila (nyanyian Haqiem Rusli, gubahan dan lirik oleh Haqiem Rusli & Fahmi Zafran )
4. Lemah (nyanyian Dayang Nurfaizah, gubahan dan lirik oleh Hael Husaini)
5. Kerana Ego (nyanyian Khai Bahar, gubahan dan lirik oleh Arnab Santai dan Khai Bahar)
6. Tangisan Seorang Pendosa (nyanyian Marsha Milan, gubahan oleh Marsha Milan, lirik oleh Hazama)
7. Pernah Punya Aku (nyanyian Shila Amzah, gubahan dan lirik oleh Shila Amzah)
8. F (nyanyian Floor 88, gubahan oleh Zai Hamzah, lirik oleh Achoi Floor 88 & Hemo)
9. Tiwikarma (nyanyian K.O.I, gubahan oleh Zai Hamzah & Hemo Globin, lirik oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana & Sapik Sam)
10. Puaskah (nyanyian Ameerais & Mariam Saim, gubahan dan lirik oleh Iqie Hugh & Shazriq Azeman)
11. Seribu Tahun Lagi (nyanyian Imran Ajmain, gubahan dan lirik oleh Amylea Azizan)
12. Tak Adil (nyanyian Aisha Retno, gubahan oleh Aisha Retno & Radi, lirik oleh Aisha Retno)
13. Semacam Pandora (nyanyian Hazama, gubahan oleh Hazama, Zimi, Genervie Kam & Ritz Metalasia, lirik oleh Zel Hadauan)
14. Rasa & Takdir (nyanyian Amira Othman & Irfan Haris, gubahan dan lirik oleh Syafiq Rashid)
15. Cak Cak Cekuk (nyanyian Wani Kayrie, gubahan dan lirik oleh Karim Karam, Shane Kennedy & Iqie Hugh)
16. Hilangmu Tak Terganti (nyanyian Tajul & Afieq Shazwan, gubahan dan lirik oleh Haqiem Rusli)
17. Kamu (nyanyian Aina Abdul, gubahan dan lirik oleh Aina Abdul)
18. Menyala (nyanyian Stacy, gubahan oleh Bunga Cantik, lirik oleh Bunga Cantik & Hang Nadim)
19. Ke Mana Ni (nyanyian Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik, gubahan oleh Kmy Kmo & Luca Sickta, lirik oleh Kmy Kmo, Luca Sickta & Salam)
20. Lumangad Oku Dika (nyanyian Ryenald Guntabid, gubahan dan lirik oleh Ryenald Guntabid)

Seperti dijangka, edisi kali ini menjanjikan persaingan sengit dengan barisan artis popular dan karya berkualiti tinggi.
Kesemua lagu yang terpilih merupakan antara yang terbaik sepanjang tahun, dipilih daripada 30 lagu carta Muzik Muzik 40. Penilaian dibuat secara teliti oleh barisan juri profesional berdasarkan kriteria ketat menjadikan setiap lagu yang layak benar-benar berpotensi untuk mencipta momen ikonik di pentas AJL.
Antara nama besar yang bakal mencuri perhatian termasuk Dayang Nurfaizah menerusi lagu Lemah, Aina Abdul dengan Kamu, serta Shila Amzah yang mempertaruhkan Pernah Punya Aku. Tidak ketinggalan, Haqiem Rusli tampil dengan dua karya sebagai penyanyi untuk Nostalgila dan komposer bagi Hilangmu Tak Terganti, membuktikan pengaruhnya yang semakin kukuh dalam industri.

Selain itu, kehadiran nama-nama seperti Amir Masdi, Marsha Milan, Hazama dan Stacy menambah lagi warna dalam senarai pertandingan, menjadikan pentas Separuh Akhir kali ini lebih rencam dari segi genre dan persembahan.
Dalam masa yang sama, episod terbaru Muzik Muzik turut melengkapkan senarai penuh 30 lagu MM40 dengan pengumuman baki karya yang tidak berjaya mara ke Separuh Akhir. Antara yang tersenarai termasuk Gasoline nyanyian Akim Ahmad bersama kumpulan Akim & The Majistret, Peluk oleh Hael Husaini dan Nadeera, serta Hamba Cinta nyanyian Syamel.
Peringkat Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 bakal bersiaran secara langsung dari Studio 1, Glenmarie pada 17 dan 18 April ini, jam 9 malam menerusi TV3, dan turut boleh distrim secara eksklusif di Tonton.
Baca: Fakta Menarik Dan Pemenang AJL Paling Banyak Dalam Sejarah
