Selepas empat tahun menghentikan langkahnya di dalam dunia nyanyian, Janna Nick kini muncul dengan single terbaru, ‘Gatal’.
Biar pun pernah dikritik kemampuannya menyanyi, namun itu bukan alasan untuk Janna Nick menoktahkan percubaannya di dalam dunia nyanyian. Malah kritikan itu sebenarnya adalah pembakar semangat untuk dirinya memperbaiki kualiti nyanyiannya.
Janna Nick yang ditemui di sidang media single terbarunya yang diberi judul ‘Gatal’ mengatakan dengan latihan yang berterusan dan konsisten dia percaya dia mampu menyanyi dengan baik. “Saya yakin saya boleh menyanyi, cuma saya perlukan latihan yang banyak dan berterusan. Pemilihan lagu juga penting, mestilah yang seiring dengan kemampuan vokal saya. Lagi satu saya perlu belajar bagaimana untuk mengurangkan rasa gemuruh bila mahu melakukan persembahan,” katanya. Bagi pemenang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun lalu ini, bukan mudah untuk menyanyi di khalayak, adakalanya dengan latihan yang bersungguh-sungguh juga, perasaan gementar boleh menganggu persembahan. “Bukan mudah untuk menyanyi di hadapan orang yang kita tidak kenal,” tambahnya.
Menurut Janna, dia sudah mula menjalani kelas vokal sejak setahun yang lalu, dan melakukan latihan yang lebih konsisten sebelum merakamkan lagu ‘Gatal’ yang dicipta oleh Aepul Roza (Drama Band). Malah dia menjalani latihan selama dua minggu untuk persembahan live pertama ‘Gatal’ di sidang media semalam.
“Peminat berhak untuk memberi kritikan jika saya melakukan kesalahan. Saya bukan mengharapkan pujian. Saya terbuka dengan kritikan yang berasas. Namun usahlah teguran itu membabitkan orang lain, keluarga misalnya. Sebagai seorang dikenali, saya tak boleh tiba-tiba mahu jadi orang biasa. Bila kita lari dan mendiamkan diri, orang fikir kita sendu. Itu pemikiran dan tanggapan orang sekarang.”
“Untuk kekal relevan kita perlu terbuka menerima kritikan dan kontroversi.. Terimalah seadanya kerana ini adalah bidang yangs aya pilih 10 tahun dulu. Saya tak anggap kontroversi akan mempopularkan saya kerana peminat hari ini makin bijak, mereka tidak melihat populariti semata, mereka juga mahukan kualiti.
Ditanya sama ada mahu menumpukan karier nyanyian buat tahun ini, jelas Janna itulah perancangannya buat masa ini. “Saya memperlahankan sedikit aktiviti lakonan TV tahun ini, bukan tiada tapi saya kurangkan. Saya mahu membahagikan masa dengan nyanyian. Saya mahu ada masa untuk berlatih dan mempromosikan lagu. Lagi pun dalam masa yang sama saya juga mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja belakang tabir.
Lagu ‘Gatal’ sudah dilancarkan beberapa minggu lalu dan malam tadi video muziknya juga sudah dimuat naik di YouTube. Video klip yang mendapat sentuhan Chuan Looi itu menyaksikan vibe glamor 80-an menjadi pilihan. Lebih istimewa video muzik ini juga diserikan dengan kehadiran aktor terkenal, Shukri Yahaya. Jurusolek terkenal, Khir Khalid dan David Shaw memperlengkapkan penampilan ‘gatal’ Janna.
“Ini adalah buah tangan untuk anda semua. Terima kasih banyak atas segala sokongan yang diberikan dari awal pembabitan Janna dalam industri seni. I love you guys so much”, pesan Janna.
Baca: Janna Nick Jawab 50 Soalan (Termasuk Tentang Dini Schatzmann)