Setinggi-tinggi tahniah buat Nelydia Senrose yang selamat bergelar isteri kepada Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid yang merupakan seorang ahli perniagaan. Semoga selamat melayari bahtera perkahwinan ini dengan penuh kebahagiaan.
Berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Nelydia dan Hafez dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Nik Sen Mat Rifin serta disaksikan oleh Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid pada jam 3.28 petang tadi.
Nelydia menerima mas kahwin RM10,000 serta sembilan dulang hantaran dari Hafez dan membalas dengan 11 dulang hantaran. Walaubagaimanapun, wang hantaran tidak dimaklumkan.
Majlis pernikahan aktres jelita ini berlangsung di hadapan kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga kedua-dua belah pihak serta sahabat rapat mereka.
Sebelum majlis pernikahan berlangsung, pasangan ini turut mengikat tali pertunangan sebagai menyempurnakan proses dan adat.
Nelydia tampil cukup cantik berseri dalam busana serba putih rekaan Ezuwan Ismail. Wajah Nelydia yang sememang cantik berseri dirias manis oleh Syed Faizal Syed Noh serta rambut didandan kemas oleh Ckay Liow.
Tidak dinafikan, yang persiapan perkahwinan adik kepada Uqasha Senrose ini hanya dilakukan bermula awal tahun ini sahaja. Namun, Nelydia bersyukur yang ia berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan. Doa saya di Tanah Suci Makkah serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya dan dia. Insya-Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Boleh dikatakan yang pasangan ini menjalinkan hubungan rapat tidak begitu lama sebelum Hafez melamar Nelydia pada April 2018, yang mana sewaktu itu aktres jelita ini sedang bercuti di Eropah bersama kakaknya, Uqasha Senrose.
Mereka bertemu buat pertama kali pada 6 April 2017. Namun pada ketika itu tiada sebarang apa yang berlaku. Selepas beberapa bulan hubungan itu menyepi, mereka bertemu kembali pada hujung tahun yang sama.
Selepas dilamar, Nelydia membawa Hafez bertemu dengan bapanya sekaligus meminta restu dari keluarga untuk hubungan mereka serta merancang untuk fasa yang seterusnya iaitu perkahwinan.
“Memang asalnya rancangan perkahwinan ini nak dibuat tahun lalu. Tetapi ada saja kekangan. Di sebalik ujian dan halangan sebelum ini, saya dan suami berjaya melaluinya sebaik mungkin. Sekembali dari umrah 5 Januari lalu, saya dan dia putuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan memulakan persiapan,” katanya.
Nelydia menyifatkan yang suaminya itu seorang yang menjadi pelengkap hidupnya serta cukup menenangkan hati. Pasangan ini turut melangsung majlis resepsi pada sebelah malam di lokasi sama majlis pernikahan tersebut berlangsung.
Untuk majlis tersebut, Nelydia menggayakan busana rekaan Alia Bastamam, Hafez pula menyarung busana Ezuwan Ismail. Ketika upacara memotong kek, pasangan ini menukar persalinan ke rekaan Rizman Ruzaini. Turut dirancang sebuah lagi majlis resepsi yang mana akan diadakan di Kelantan pada musim raya nanti.