‘SWAG’ bukan sekadar album baru Justin Bieber, ia penuh dengan kisah cinta, keluarga dan kepercayaannya yang tulus.

Album terbaru Justin Bieber, SWAG, hadir bagaikan ledakan emosi yang menggegarkan dunia, hadiah paling istimewa buat para Belieber. Bukan sekadar himpunan lagu, album ini adalah catatan jujur dari lubuk hati, merangkumi kisah cinta, erti keluarga, dan makna kepercayaan.
Setiap rangkap lirik menggambarkan kasihnya terhadap isteri tercinta, Hailey, di samping luahan kasih sayang sebagai seorang ayah. Lagu demi lagu membawa kita menyelami sisi peribadi Justin yang selama ini jarang tersingkap, menjadikan SWAG bukan hanya sebuah album, tetapi cerminan jiwa yang tulus.
Di sebalik rentak pop dan kolaborasi besar, tersembunyi kisah cinta sejati, janji yang dipelihara, dan hubungan spiritual yang mendalam. Jom kita selami makna di sebalik beberapa lagu utama dari album ini.
GO BABY
Lagu ini jelas ditujukan khas buat Hailey, isteri tercinta Justin Bieber. Kalau ada yang tertanya-tanya sama ada lagu ini mungkin ditujukan kepada orang lain—contohnya anak mereka, Justin dah jelaskan dalam rangkap pertama:
“That’s my baby, she’s iconic, iPhone case, lip gloss on it.”
Dia menggambarkan Hailey sebagai wanita yang bergaya dan istimewa. Malah, Justin juga menyentuh tentang kecaman yang sering diterima Hailey di media sosial. Tapi dia tak peduli. Dia berjanji akan sentiasa ada untuk Hailey, setiap hari, dari Ahad hingga Ahad. Sangat manis dan penuh kasih sayang.
DEVOTION
Lagu ini lebih perlahan dan romantik, dengan sentuhan sensual. Tapi yang membuatkan lagu ini istimewa ialah ia digunakan dalam video pembaharuan ikrar perkahwinan Justin dan Hailey. Dalam video itu jugalah mereka umumkan berita kehamilan Hailey.
Jadi, “Devotion” bukan sekadar lagu cinta—ia jadi lambang hubungan mereka yang semakin kuat, dan cinta mereka sebagai suami isteri serta bakal ibu bapa.
WAY IT IS
Lagu ini merupakan kolaborasi bersama rapper terkenal, Gunna. Dalam salah satu rangkap, Gunna menyanyi:
“I get you Hermès, the Croc (Yeah), ’cause it’s whatever for you.”
Tak pasti sama ada lirik itu ditulis oleh Justin atau Gunna, tapi kemungkinan besar dari Gunna, sebab Hailey jarang dilihat membawa beg Hermès kulit buaya (walaupun dia ada satu beg Birkin berwarna biru muda).
Walau apa pun, mesejnya jelas bahawa lagu ini tunjukkan kesanggupan untuk beri apa saja demi orang yang disayangi.
WALKING AWAY
Lagu ini juga tentang hubungan perkahwinan mereka. Dalam bahagian korus, Justin menyanyikan:
“You were my diamond / Gave you a ring.”
Dia ibaratkan Hailey seperti berlian, sangat berharga dalam hidupnya. Tapi lagu ini juga memberi bayangan bahawa mereka pernah lalui masa yang sukar dalam perkahwinan.
Walaupun begitu, Justin tegaskan bahawa dia takkan berundur atau tinggalkan hubungan ini. Ia satu pengakuan cinta yang kuat dan tulus.
DADZ LOVE
Seperti tajuknya, lagu ini tentang kasih sayang Justin sebagai seorang ayah kepada anaknya, Jack. Liriknya sangat ringkas dan berulang, dia hanya nyanyi frasa “dad’s love” berulang kali. Tapi itulah keistimewaannya, ringkas tapi penuh makna.
Lagu ini tunjukkan rasa gembira dan kasih seorang ayah kepada anaknya. Namun, ada juga yang rasa lagu ini mungkin ada maksud lain, mungkin tentang cinta Justin kepada Tuhan.
Justin memang terkenal dengan keimanannya, jadi tak mustahil lagu ini ada dua maksud: cinta seorang ayah kepada anak, dan cinta seorang hamba kepada Tuhan.
Baca: ‘Wednesday’ Musim Kedua Tampil Lebih Menyeramkan, Ini Fakta Anda Perlu Tahu!