Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Arkib EH!
Sarat hamil 7 bulan, Diana Danielle masih gigih berkarier bersama produk kosmetiknya, Luxuria Cosmetics yang kini semakin hangat di pasaran.
Ketika ditemui di sekitar majlis debut Lazada bersama Luxuria Cosmetics, Diana berkongsi sedikit perkembangan terbarunya yang kini sedang hamil anak kedua. Katanya, jika tiada sebarang halangan, dia bakal bersalin pada bulan November nanti.
Diana juga menyatakan yang dia dan suami, Farid Kamil, tidak meletakkan sebarang harapan pada jantina bayi kedua mereka dan menerima apa sahaja kurniaan yang diberikan.
“Sebenarnya kami tidak tahu apakah jantina bayi kedua ini. Doktor ingin memaklumkan pada kami mengenai jantina kehamilan kedua saya ini, tetapi saya dan Farid mempunyai persetujuan yang mana kami tidak kisah adakah ianya lelaki ataupun perempuan. Bahkan ianya seakan kejutan buat kami ketika mendapat tahu akan kehamilan kedua ini.”
Ditambahnya lagi, “Kami tidak merancang untuk hamil kali kedua secepat ini. Jadi, kami tidak kisah apakah jantinanya. Kami hanya gembira dan bersyukur untuk kurniaan kali kedua ini.”
Diana juga berkongsi yang ketika hamil anak kedua ini dia sangat suka akan ‘bird’s nest’ dan sangat menikmatinya. Ketika di temubual juga, Diana turut berkongsi tip untuk mengatasi marah dan kemurungan yang sering dialami wanita hamil.
“Saya rasa ianya bergantung pada diri kita sendiri untuk mengawal emosi itu dengan kaedah yang bagaimana. Ianya tidak bergantung pada suami kita untuk membuatkan kita gembira. Jika kita memerlukan sesuatu dan suami ketika itu tidak dapat membantu, ambil seketika untuk duduk berbincang bersamanya tentang bagaimana tahap keselesaan yang anda mahukan, bagaimana penat tubuh anda dan komunikasi itu penting kerana suami sudah semestinya tiada idea langsung berkenaan apa perasaan dalaman anda.”
“Saya juga rasa yang majoriti wanita menganggap orang lain boleh membaca segala apa yang mereka fikirkan. Jadi, saya rasa kalau kita mempunyai emosi marah yang hadir ketika waktu hamil, jangan terlalu mengikutkan perasaan marah itu. Cuba untuk bertenang dan relaks. Jika anda mempunyai hari yang sibuk, mungkin boleh kurangkan sedikit aktiviti yang dilakukan kerana hari anda akan terkesan dek kerana mood yang tidak stabil dan ia sekaligus merosakkan mood orang lain juga. Dan ambil rehat yang secukupnya.”
Ditanya tentang perkembangan terbarunya, Diana menyatakan yang kini dia sedang sibuk dalam memasarkan produk kosmetiknya. Fokusnya kini pada Lazada dalam mempromosikan produk kecantikannya serta mengadakan kelas kecantikan eksklusif darinya dalam beberapa bulan lagi. Katanya lagi mengenai perancangan di masa hadapan, Diana merancang untuk mencuba sesuatu yang lain. Namun tidak ada perancangan yang spesifik khusus pada sesuatu perkara. Tetapi katanya, “Saya teringin sangat-sangat untuk menghasilkan sebuah album muzik. Saya sudah menanam cita-cita itu agak sekian lama.” Diana bukan hanya mempunyai bakat dalam bidang lakonan, malah juga dalam bidang nyanyian yang mungkin ramai tidak tahu. Ianya satu aktiviti ‘on and off’ baginya.