Up close and personal. EH! mendekati dan mencungkil perasaan Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, atau lebih tersohor dengan nama pentasnya, Sherry Al-Hadad.
Saya tidak puas merakamkan gaya Sherry Al-Hadad di edisi Februari 2020, waktu itu EH! Masih muncul dalam edisi cetak. Saya mahu buat lebih lagi, dan saya percaya Sherry boleh beri lebih lagi. Jadi bila rancangan mahu meletakkan Sherry sebagai pembuka 2022, saya mahu merancang sesuatu yang istimewa. Saya hubungi enam pereka fesyen, dan minta mereka hasilkan sesuatu yang baru untuk cover shoot ini. Namun hanya Ashraf Zainal dan Ridzuan Alias (Teruntum Putih) sempat menyiapkan busana baharu. Kel Wen dari Behati pula biarpun tidak sempat mereka helaian baharu, tapi dia singgah ke studio menyiapkan Sherry. Gaun merah dengan simpulan bunga ros pada kedua lengan mencipta statement yang sungguh menjerit di dalam gambar. Menjadi!
Bertukar-tukar solekan dan dandanan setiap kali bertukar baju, bukan satu masalah buat Sherry. Dia suka, malah dia berasa cukup istimewa diberi peluang sebegini. “Terima kasih Bids panggil I. Love semuanya,” itu antara baris ayat yang dia ucapkan pada saya.
Beberapa minggu selepas penggambaran kami bertemu sekali lagi di Kloe Hotel, Bukit Bintang. Sherry mahu berehat, staycation di situ. Saya memang mahu bertemu dengannya kerana tak puas jika sekadar berbicara di hujung telefon semata. Saya mahu Sherry berekspresi, melihat riak wajahnya saat menjawab tiap soalan.
“Cuba Sherry berikan ‘definisi’ Sherry Al-Hadad?”
“Hahaha… (ketawa). Kalau ikut sains zodiak, Scorpio ini orangnya happy go lucky, suka jadi leader dan perahsia. Ciri-ciri Scorpio itu saya ada secara keseluruhannya, seorang mudah didampingi, seperti Aqeella (pengurus peribadi Sherry), saya ni social butterfly, campaklah ke mana saja saya boleh hidup. Saya seorang yang nampak selesa di atas pentas tapi bile bercakap tentang isi hati saya seorang yang suka menyembunyikan perasaan. Saya juga tak suka marah, saya pendam saja. Lagi satu, Scorpio suka jadi ketua, tapi ciri itu tak ada pada saya.”
“Sherry kata Sherry suka pendam rasa marah, suka diam sahaja, tapi di sudut hati, Sherry nak tak orang tahu Sherry tengah marah?”
“Saya pernah marah, tapi saya tak suka perasaan itu. Saya rasa serba salah. Saya akan jadi macam sapi yang tengah marah, yang tercungap-cungap tu. Jadi, kalau Bids tanya saya nak orang tahu atau tak saya tengah marah, jawapannya tidak.”
“Apa sasaran atau ‘goals’ Sherry dalam bidang ini? Seperti Ru Paul (saya tahu Sherry sangat sukakan Ru Paul), apa yang saya baca goals nya sewaktu masuk ke dalam industri hanya mahu satu hari nanti orang berkata, “Oh Ru Paul, I love you”. Sherry pula?”
“Apa yang saya nak, generasi akan datang melihat seperti mana saya melihat Adibah Noor dan Kak Syanie, yang beri saya harapan untuk berada di dalam industri ini. Saya mahu generasi baru sedar bahawa untuk masuk ke dalam industri bukan terhad kepada bentuk tertentu saja. Saya ada terima banyak juga DM dari orang bertubuh gempal yang mengucapkan terima kasih, menurut mereka, disebabkan saya mereka jadi lebih yakin.
“Berdasarkan DM itu, kiranya sudah tercapai lah goal Sherry. Apa yang belum tertunai lagi?”
“Dari dulu saya bercita-cita nak bawa kawan-kawan saya masuk ke dalam industri. Mereka ada bakat yang bagus cuma belum dapat peluang. Saya mahu pecahkan stigma yang nak masuk TV perlu ada rupa. Saya mahu produser kita tahu yang kita sebenarnya ada ramai pelakon berbakat, tak kiralah apa agama dan bangsanya, mahupun rupa bentuknya.”
“Sherry dilihat seorang yang sentiasa positif, tinggi keyakinan. Adakah Sherry sememangnya begitu selalu?”
“Sejak kecil saya memang begini, confident. Saya pun tak tahu di mana letaknya filter saya. Mana-mana saya pergi saya memang confident. Dan keyakinan saya ini jadi bertambah bila mana saya juga seorang bekas pelajar seni persembahan. Saya jenis selamba. Tapi… Sherry Al-Hadad when it comes to feeling, dia tak yakin. Saya selalu ada rasa yang saya akan ditolak. Saya overthinking.
“Itu bila bercakap tentang peribadilah kan. Tapi jika bercakap soal kerja, Sherry takut dengan rejection? Misalnya bila ke audition?”
“Bila orang panggil untuk audition, saya selalu cakap saya takkan dapat. Tak tahulah mungkin saya ada jinx dengan audition. Selalunya 50/50, kadang-kadang dapat adakalanya tak. Saya percaya setiap audition mereka sudah ada kriteria yang mereka mahukan dalam satu-satu watak. jadi jika satu watak, lima orang yang datang, tiada jaminan kita boleh dapat. Kepercaya untuk saya pergi audition itu ada, tapi keyakinan untuk dapat, tak ada.
“Saya percaya jiwa sebagai pelakon sangat tebal dalam diri Sherry, tapi nampaknya rezeki mengacara lebih melimpah. Sayang tak?”
“Jiwa berlakon itu masih ada, bahkan kalau tengok teater saya rasa macam saya nak naik atas pentas. Hendak berlakon, instrumen kita adalah bentuk fizikal kita. Jadi orang seperti saya, wataknya terhad, melainkan yang dicipta khusus untuk orang seperti saya, komedia misalnya. Tapi itu sudah jadi sterotaip pula. Sebab itu bila saya mengacara saya akan selitkan unsur lakonan, elemen muzikal misalnya. Saya suka berlakon sebab ia beri peluang untuk saya jadi macam-macam.”
“Adakah Sherry seorang yang sering optimis? Jika ya, susah tak mahu jadi begitu?”
“Saya orang yang akan positifkan semua keadaan, misalnya jika Bids dengan Aqeella gaduh, saya akan cuba neuteralkan keadaan. Untuk jadi seorang yang positif itu tak susah sebab dari dulu saya memang begitu. Cuma yang susahnya, bila orang selalu sangat tengok saya happy go lucky, jadi bila jiwa kacau orang tak tahu. Kadang-kadang kita macam nak hint yang kita ni terganggu, tapi bila orang mula tanya-tanya kita rasa rimas.”
“Apakah pelajaran atau pengajaran yang paling mengambil masa untuk Sherry pelajari?”
“Paling lama adalah untuk terima diri sendiri. Saya selalu rasa apa yang saya buat bukanlah yang terbaik. Saya akan cari silap, selalu kondem diri sendiri. Tapi bila semakin tua, dan dengan kata-kata orang sekeliling, saya rasa sudah tiba masa untuk saya tepuk belakang saya tanda ucapan tahniah atas kerja keras saya. Saya tak boleh berterusan kasar dan menjadi musuh kepada diri sendiri. Selama ini saya yang sekat diri sendiri.”
“Orang luar tengok saya mengacara bagus, tapi orang sekeliling yang rapat dengan saya akan tahu yang saya tetap rasa tak memuaskan. Saya suka kritik diri sendiri, selalu rasa tak cukup. Saya masih belajar untuk kenal dan terima diri saya.”
“Apa pilihan atau keputusan paling sukar untuk Sherry buat setakat ini, sesuatu yang berkaitan dengan kerjaya mungkin?”
“Keputusan atau pilihan dalam meletakkan branding Sherry Al-Hadad itu sendiri. Saya bagi contoh, saya dah kerja dengan Bids lapan tahun, tiba masa saya dapat tawaran kerja di tempat lain dengan peluang baru untuk saya kembangkan bakat saya. Saya akan fikir apa pendapat orang lain tentang diri saya. Adakah orang akan anggap saya ni tak kenang jasa ke, lupa diri ke. Peluang ke tempat baru juga adalah peluang untuk branding baru. Jadi di sinilah keadaan saya ketika ini yang dalam usaha untuk menurunkan berat badan. Bukan semata kerana penampilan tapi juga kerana faktor kesihatan. Saya pun dah hampir 40 tahun.”
“Saya masuk ke gelanggang seni dengan satu acuan sendiri. Jadi bila orang tengok saya dah turunkan berat badan, walaupun belum lagi kurus, dah ada orang cakap, “kalau kau kurus, orang dah tak nak Sherry Al-Hadad. Pelakon kurus dah ramai. Nanti kau dah tak special”. Benda-benda ni sebenarnya mengganggu diri saya. Membuat minda saya celaru, memikirkan betul ke tindakan saya ni. Saya tidak pernah kurus, dan saya nak cuba jadi kurus. Tak cuba saya tak tahu.”
“Saya rasa Rebel Wilson juga mengalami dilema yang sama. Adele kategori lain, kerana dia penyanyi. Saya dan Rebel pelakon, dan kami dikenali sebagai pelakon komedi, jadi keadaan fizikal kami antara instrumen kami. Tapi saya akan cuba untuk istiqomah dalam usaha saya turunkan berat badan. Tak mudah tapi saya memang nak cuba. Saya juga perlu rancang dengan branding baru. Saya nak buktikan, besar atau kecil saiz badan saya, saya masih orang yang sama.”
“Media sosial adalah satu cabang atau platform untuk seseorang memasarkan diri, dan ia bukan mudah. Sherry setuju?”
“Saya bukanlah orang yang mahir dengan teknologi. TikTok cuma baru setahun dua, itupun kerana PKP. Dan ada juga brand yang mahu saya buat content untuk TikTok. Tapi saya adalah orang yang hasilkan content bila saya rasa nak buat. Saya tak letakkan ia sebagai satu komitmen harian walaupun kadang-kadang bila tak post apa-apa, saya mula berfikir-fikir. Saya pemerhati dan saya buat analisa atas apa yang orang lain post. Saya elakkan diri saya dari menjadi seorang yang sanggup melakukan apa saja demi content.”
“Apa lagu yang memotivasikan diri Sherry?”
“Lagu yang bagi motivasi, lagu favourite saya Chumbawamba, semua orang tahu itu lagu saya. Lagu tu just for fun, upbeat. It’ss my jam. Dia bagi saya good mood. Saya ni antara dua saja, antara yang paling tinggi atau paling rendah, tiada pertengahan. Imaginasi saya tinggi, jadi antara perasaan paling gembira atau paling jiwa kacau sekali. Lagu JK saya ‘Perpisahan’ Anuar Zain dan ‘Seribu Tahun’, Imran Ajmain.”
“Apa yang Sherry lakukan untuk memastikan mental dalam keadaan baik/sihat?”
“Pertama, saya akan pastikan saya ada masa untuk keluarga saya. Keduanya, saya pastikan diri saya dikelilingi orang-orang yang positif. Dulu-dulu kalau ada yang toksik, saya masih simpan lagi, sekarang, bye bye. Sebelum pandemik saya juga pastikan diri saya pergi tengok persembahan, bagi saya itu satu cara untuk lepaskan tekanan. Baca buku lambat lagi (ketawa).”
“Sekarang saya sedang mencari-cari hobi baru. Saya ada Google, dan dalam pertimbangan nak pergi belajar buat pasu atau tembikar. Barulah boleh feeling Demi Moore dalam filem Ghost (ketawa lagi). Hari ini seperti orang tahu, saya banyak luangkan masa di gim. Tapi saya belum sampai tahap macam sesetengah orang yang memang looking forward nak ke gim.”
“Siapa ‘hero’ dalam hidup Sherry?
“Pertama, ibu saya kerana dia adalah seorang wanita paling kuat dan tabah pernah saya jumpa. Dia tak pernah meminta-minta. Dia ada empat orang anak, perempuan semua. Bila dah besar saya nak jaga diri sendiri pun susah.”
“Kedua, arwah ayah saya. Walaupun saya sempat dengan dia sembilan tahun saja, tapi dia seorang ayah yang best. Sampai ke hari ini, kalau terjumpa kawan-kawan arwah ayah, semua akan kata betapa baik dan ramahnya dia. Dia seorang yang disenangi. Bertuah juga sebab perangai ramahnya itu turun ke dalam diri saya. Cuma hidung mancung je saya tak dapat. Saya selalu usik emak saya, ‘kenapa saya ikut hidung Ummi?”
“Jika Sherry boleh berikan satu pesanan atau nota ingatan buat diri Sherry sendiri 10 tahun lagi, apa bunyinya?”
“Kalau saya jumpa diri saya sewaktu 25 tahun dulu, saya nak cakap ‘Sherry kau jangan risau dengan kehidupan kau. Kalau kau kau kerja keras kau akan dapat’. Dan di usia 38 tahun, hari ini banyak benda yang tak dijangka berlaku. Saya masih ingat sewaktu kali pertama mengacara AJL, waktu jejak kaki ke Axiata memang tak sangka. Saya tanya pada diri saya, betul ke?”
“Jadi untuk diri saya yang 10 tahun akan datang, saya nak cakap, ‘Sherry, kau kena buang sifat takut kau, kau kena berfikir di luar kotak. Kau kena tahu untuk cari peluang, kau kena berani untuk luahkan perasaan kau. Usah takut dengan rejection dan jangan lupa yang sebenarnya ramai orang yang menyayangi kau.”
“Ceritakan satu pilihan atau tindakan Sherry sebelum ini, yang Sherry sendiri seronok dan gembira dengan keputusan itu?”
“Percaya dengan industri ini. Selepas habis ijazah saya memang tertekan sebab saya tak ada job. Teater tak ada, drama tak ada. Waktu itu rasa putus asa memang kuat. Satu hari kawan sekolah saya beri saya borang untuk jadi customer service. Dia kata sebab saya ada ijazah saya layak untuk kerja sebagai customer service. Saya dah isi borang dan bila saya beri borang semula, dia cakap, ‘Sherry aku tak rasa kau akan happy kerja kat sini. This is not your life’. Betul apa dia cakap, dan saya percaya dunia sebenar saya ialah untuk berada di dalam bdiang seni. Itu kesukaan saya sejak kecil.”
“Saya kerja keras, saya ketepikan apa yang orang pernah buat pada saya, kena caci, dipandang rendah. Alhamdulillah saya berjaya pecahkan pintu untuk masuk ke industri ini. Orang nampak mudah, tapi orang tak tahu orang tolak kita. Bayangkan kalau saya putus asa? Saya takkan berada di mana saya berada hari ini.”
“Siapakah orang yang banyak mengubah kehidupan Sherry?”
“Saya rasa yang banyak mengubah kehidupan saya adalah diri saya sendiri. Saya suka perhatikan orang. Saya selalu pandang orang untuk saya belajar. Tapi saya adalah seorang yang slow learner. Umur saya 38 tahun, tapi saya tak rasa saya matang, saya masih ada perangai budak-budak. Saya terima dan faham proses itu,m saya tak terkejar-kejar. Saya tak ada manual. Saya okey jika saya terlambat. Kalau orang tanya apa plan saya lagi lima tahun, saya pun tak tahu nak jawab. Tapi elok juga kalau kita ada perancangan sekurangnya kita tahu arah tuju kita. Tapi saya percaya setiap orang ada cara yang berbeza dalam menggembirakan diri mereka. Saya seronok dan selesa begini.”
“Apa perangai sejak remaja yang masih ada dalam diri Sherry sampai sekarang?”
“Kalau ada masalah saya tak mahu fikir. Saya akan biarkan ia selesai sendiri, atau masalah itu akan jadi lebih teruk (ketawa).”
“Apa penghargaan yang patut Sherry berikan kepada diri Sherry sendiri?”
“Kerja keras selama ini akhirnya membuahkan hasil. Apa yang disemai dulu sudah boleh dituai. Ini juga untuk my mom kerana dulu bila saya nak sambung belajar dalam teater, dia tak percaya. Saya berjaya buktikan saya dapat apa yang saya nak.”
“Apakah aset terbaik diri Sherry”
My personality, my witty!
“Okey Sherry, soalan terakhir Bids, apa kualiti yang Sherry cari dalam seorang lelaki?”
“Saya punya blueprint, saya memang suka pemuzik. I always love musician. Kualiti lain pula dia mestilah punya wavelength yang sama dengan saya, begitu juga persamaan dalam penmikiran dan ada humornya juga. Orang selalu cakap kita kena cari yang berbeza dengan diri kita, barulah seimbang, tapi bagi saya itu tak semestinya.”
Jawapan Sherry tentang lelaki diamannya itu menutup temubual saya dengannya petang itu. Dari cerah bawa ke senja, saya seronok duduk berbual dengannya. Tidak bosan. Dia tahu tiap butir perkataan yang keluar dari jawapannya. Doa saya supaya Sherry akan terus berjaya, tidak lagi terlalu menyembunyikan perasaannya, lebih-lebih lagi dalam pencarian cinta. Saya percaya dia akan ketemui cinta yang dicarinya sebagaimana dia berjaya menggapai cita-cita zaman kecilnya. Mungkin dengan pemuzik yang dianganinya? Siapa tahu. Itu semua ketentuan yang sudah tertulis oleh-Nya.