Lebih setahun membawa haluan masing-masing dan berganti pasangan, muncul bukti yang menunjukkan Camila Cabello dan Shawn Mendes kini kembali menjalin hubungan.
Pelantun lagu Havana dan Treat You Better itu dirakam beraksi mesra sewaktu menonton persembahan bersama pada malam pertama festival Coachella baru-baru ini. Menerusi rakaman yang tersebar, Shawn Mendes dan Camila Cabello tersenyum ke arah satu sama lain. Mereka kemudiannya bepelukan dan berkucup mesra sambil diperhatikan pengunjung festival. Pada lewat malam, mereka dilihat berbual bersama dan menikmati minuman bersama rakan-rakan.
Camila Cabello kelihatan bergaya dalam celana denim kargo yang dipadankan bersama baju putih. Bekas kekasihnya pula menggayakan celana khaki juga bersama kemeja-T rona putih. Pertemuan semula ini berlaku genap 17 bulan selepas mereka mengumumkan perpisahan setelah lebih dua tahun menyulam cinta.