DNCE berjaya menyuntik energi luar biasa sepanjang menghiburkan penggemarnya di Kuala Lumpur dengan 20 buah lagu tanpa henti.
Sejak debut Cake By The Ocean, DNCE terus pantas mengumpul peminat-peminat baharu. Ritma rancak lagi catchy itu menerima sambutan hebat malah pantas mendaki carta-carta muzik utama seluruh dunia (tangga ke Sembilan Billboard 100).
Selasa lalu kumpulan yang dianggotai Joe Jonas, Jack Lawless, Cole Whittle dan JinJoo Lee ini tampil di pentas KL Live, menghiburkan peminat setia mereka di Kuala Lumpur. Konsert dibuka dengan lagu Naked dan diikuti dengan DNCE (dipetik daripada album sulung mereka, DNCE yang khabarnya sudah terjual 1 juta unit). Sorakan peminat malam itu terus bergema saat ritma permulaan Body Moves berkumandang. Single kedua DNCE itu mula dilancarkan Oktober tahun lalu.
“Come and roll with me, we’ll rock them body moves, Me and you (oh, just a little bit), Body moves (yeah, just a little bit, ow!)…..” berkumandang seisi ruang KL Live malam itu saat peminat turut sama-sama menyanyikan baris korus lagu tersebut.
Antara momen yang paling saya suka ialah pabila DNCE mempersembahkan medley No Scrubs (TLC) dan Hold On We’re Going Home (Drake). Dapat disaksikan kesemua yang hadir turut menyanyi sama. DNCE malam itu turut mempersembahkan lagu Freedom, nyanyian asal George Michael.
Tidak lengkap persembahan malam itu jika DNCE tidak mempersembahkan Toothbrush dan single terbaru mereka, Kissing Strangers. Biarpun tanpa Nicki Minaj, ternyata Cole Whittle berjaya mengambil tempat Nicki dengan gaya rapping tersendiri. Cole juga dilihat sebagai anggota DNCE paling bertenaga sepanjang malam, dia yang tampil dengan balutan jaket longgar warna biru muda melompat, baring dan berguling di atas pentas. Dia berjaya mengundang tepuk sorak sepanjang malam.
DNCE menutup pentas dengan Cake By The Ocean, lagu yang pastinya akan menjadi lagu ikonik DNCE sehingga 10 ke 20 tahun akan datang. Keseluruhannya saya enjoy dengan persembahan DNCE malam itu, ringkas, straightforward dan paling penting energetik tanpa perlu gimik-gimik pelik. DNCE Live In Kuala Lumpur dibawakan oleh ONEMUSIC by XOX Mobile.