Penggemar lagu ‘Cake By The Ocean’ dan ‘Kissing Strangers’ pastinya teruja dengan khabar ini, DNCE bakal beraksi secara ‘live’ di Kuala Lumpur, Ogos ini.
Berita baik bagi penggemar muzik DNCE, kumpulan yang dinaungi Joe Jonas ini bakal muncul dalam satu konsert istimewa pada 8 Ogos 2017. DNCE Live In Kuala Lumpur bakal berlangsung di pentas KL Live pada jam 8 malam.
‘Cake By The Ocean’ dan ‘Toothbrush’ antara dua lagu hit DNCE yang berjaya mendaki carta muzik. Menggabungkan ritma rock-dance dengan suntikan ritma funky, lagu-lagu DNCE pastinya pantas membuat sesiapa yang mendengar turut berdansa bersama lirik-lirik yang sing-along. DNCE sendiri ditubuhkan hasil inspirasi daripada kumpulan terkenal seperti Earth, Wind & Fire dan Hall & Oates.
Nama DNCE dicipta berdasarkan perkataan ‘Dance’ dan oleh kerana itulah lagu-lagu mereka kebanyakannya mengajak pendengar juga peminat menari bersama-sama. Terkini, DNCE sedang hangat dengan lagu ‘Kissing Strangers’ yang turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap ternama, Nicki Minaj.
DNCE dianggotai Joe Jonas (dahulunya anggota Jonas Brothers) bersama JinJoo Lee (pemain gitar), Cole Whittle bassist/keyboardist) dan pemain dram Jack Lawless.
Tiket DNCE Live In Kuala Lumpur sudah mula dijual sejak 4 Julai 2017 dan boleh dibeli menerusi www.myticket.asia, dan harga tiket hadir dalam tiga variasi iaitu RM288 (PS2), RM388 (PS1) dan RM538 (VIP).Pembeli tiket VIP berpeluang mendapat cenderahati eksklusif.
Khabarnya jualan juga muat turun single ‘Cake By The Ocean’ sudah mencecah angka 6 juta, malah album debut DNCE sendiri sudah terjual sebanyak 8,700 unit di Malaysia. Bagi yang belum mendapatkan album ini boleh layari https://lnk.to/DNCEalbumWo
DNCE Live In Kuala Lumpur dibawakan oleh ONEMUSIC by XOX Mobile.
Untuk ambil mood sebelum ke konsert DNCE, kita layan video muzik terbaru DNCE, Kissing Strangers.