Mencipta satu lagi sejarah dalam perjalanan seni mereka, kumpulan M-pop popular, DOLLA, berjaya mencuri perhatian lebih 2,000 penonton menerusi persembahan sulung mereka di bumi Eropah.
Nama DOLLA terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan wanita tempatan yang semakin mendapat perhatian apabila berjaya membawa muzik Malaysia ke pentas Eropah buat pertama kali. Menerusi penampilan di The A Music Festival yang berlangsung di Paris Event Centre, Perancis pada 24 Oktober lalu, kumpulan yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel itu membuktikan bahawa bakat anak seni tempatan juga mampu mendapat tempat di persada antarabangsa.
Lebih membanggakan, persembahan tersebut menyaksikan kehadiran kira-kira 2,000 penonton, termasuk peminat yang sanggup datang dari beberapa negara Eropah seperti Perancis, United Kingdom, Jerman dan Itali.
Sepanjang persembahan, DOLLA membawakan sebanyak 12 buah lagu termasuk single terbaharu mereka, ‘UGLY’, selain lagu popular seperti ‘Impikan’, ‘Bad’ dan ‘Bad Girls Like You’ bersama Tobii.
Buat DOLLA, peluang beraksi di hadapan penonton Eropah bukan sekadar satu lagi persembahan pentas, sebaliknya pengalaman bermakna yang pastinya akan terpahat dalam perjalanan seni mereka.
Angel menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pengalaman luar biasa yang sukar dilupakan, apatah lagi ia merupakan kali pertama mereka beraksi di pentas Eropah.
Apa yang lebih menyentuh hati, DOLLA bukan sahaja disambut dengan sorakan penonton, malah turut menerima sokongan luar biasa daripada peminat yang mungkin pertama kali menyaksikan persembahan mereka secara langsung.
Menurut Sabronzo, perkara paling mengejutkan ialah kemesraan dan sokongan yang diberikan penonton sepanjang persembahan. Tenaga luar biasa daripada peminat membuatkan mereka begitu teruja sehingga tidak mahu persembahan tersebut berakhir.
Malah, Angel turut berkongsi momen istimewa apabila penonton menghidupkan lampu telefon bimbit ketika salah satu lagu dipersembahkan. Lebih mengharukan, ada antara mereka yang tidak memahami bahasa lagu tersebut, namun tetap memberikan sokongan penuh.
Bagi Tabby pula, kejayaan persembahan itu merupakan hasil usaha dan persediaan rapi seluruh anggota kumpulan bersama pasukan produksi mereka. Melihat kerja keras tersebut dihargai penonton di Paris membuatkan dirinya berasa amat bangga.
Kunjungan DOLLA ke Paris turut diisi dengan beberapa aktiviti menarik. Antaranya termasuk pertemuan bersama peminat Eropah menerusi sesi fan meet di Trocadéro, yang turut menghimpunkan ahli kelab peminat iDOLLA France.
Lebih istimewa, mereka menerima sebuah buku kecil yang dipenuhi pesanan dan kata-kata daripada peminat. Hadiah tersebut cukup menyentuh hati Angel, manakala Sabronzo pula menyifatkan pertemuan itu sebagai peluang untuk mengenali wajah-wajah yang selama ini menyokong mereka menerusi platform digital.
Tidak ketinggalan, DOLLA turut meluangkan masa bersama beberapa kumpulan tarian yang berpangkalan di Paris untuk menghasilkan video tarian lagu-lagu mereka. Malah, kumpulan itu turut merakamkan video tarian dengan latar belakang Menara Eiffel yang cukup ikonik.
Dalam perkembangan lain, DOLLA turut mengadakan pertemuan bersama wakil Kedutaan Malaysia di Paris bagi membincangkan potensi kerjasama serta peluang pada masa hadapan.
Sebagai satu-satunya kumpulan dari Malaysia dalam barisan artis The A Music Festival, DOLLA berkongsi pentas bersama barisan penghibur dari Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Antara artis yang turut membuat persembahan pada hari pertama festival ialah JASP.ER, 4EVE, Tobii, TRENDZ, Jacob dan ALAMAT.
Bagi DOLLA, pengalaman di Paris menjadi bukti bahawa muzik mampu merentasi sempadan bahasa dan budaya. Lebih daripada sekadar mencipta nama di luar negara, kejayaan ini turut membuka ruang untuk mereka membina hubungan lebih erat dengan peminat antarabangsa.
Mengimbas kembali detik selepas persembahan, Tabby mengakui hampir menitiskan air mata kerana terlalu bangga melihat segala usaha dan pengorbanan mereka akhirnya mendapat penghargaan daripada penonton di Paris.
Debut Eropah ini pastinya menjadi satu lagi pencapaian penting buat DOLLA. Dengan sambutan positif yang diterima, mereka kini menyimpan harapan untuk kembali beraksi di rantau tersebut pada masa akan datang.
Baca: Lensa EH!, Kandid Belakang Tabir Cover Shoot Bersama DOLLA



