Bintang kumpulan The Cranberries ini dilaporkan meninggal dunia semalam secara mengejut dan punca kematian masih lagi menjadi tanda tanya.
Dolores O’Riordan berusia 46 tahun ditemui meninggal dunia secara mengejut di London menurut laporan dari pegawai serantanya, namun tiada sebarang maklumat penuh yang diberikan tentang punca kematiannya.
Penyanyi itu berada di London untuk sesi rakaman pendek. Teman kepada bintang The Cranberries, Pengarah Urusan Eleven Seven International, Dan Waite menyatakan terkejut dengan kematian mengejut Dolores kerana dia baru beberapa jam sahaja berhubung dengannya.
Menurut laporan PEOPLE, pemuzik Irish itu meninggalkan satu pesanan suara ke nombor temannya itu beberapa jam sebelum kematiannya.
“Dolores meninggalkan saya satu pesanan suara selepas tengah malam tadi yang mana menyatakan yang bagaimana dia terlalu sukakan Bad Wolves versi Zombie. Dia berharap dapat bertemu dengan saya di studio dan merakam lagu,” ujar Waite.
“Dia kedengaran baik-baik belaka, sempat berjenaka dan teruja untuk bertemu dengan saya dan isteri pada minggu ini. Berita kematiannya sangat memeranjatkan dan perasaan simpati saya buat Don, bekas suaminya, anak-anaknya serta ibunya,”tambahnya lagi.
Dolores dijadualkan untuk merakam suaranya di London pada hari kematiannya. Penyanyi Bad Wolves, Tommy Vext berkongsi kenyataan tentang kematian Dolores di Facebook semalam.
“Kami sangat terkejut dan bersedih atas berita kematian Dolores, hanya beberapa jam sebelum dia sepatutnya merakam suaranya untuk lagu Zombie versi baru. Kami sentiasa menghormati dia sebagai seorang artis dan seorang penyanyi vokal dan dia tidak pernah takut untuk menanggung jiwanya dalam muzik dan liriknya,”ujar Vext.