Penyanyi sensasi berusia 19 tahun, Olivia Rodrigo memenangi tiga anugerah termasuk Artis Baharu Terbaik, manakala Silk Sonic memenangi kategori utama untuk lagu “Leave The Door Open” di Anugerah Grammys 2022.
Anugerah Grammys ke-64 telah berlangsung meriah terus dari MG Grand Garden Arena di Las Vegas. Majlis tahun ini diterajui oleh pengacara The Daily Show, Trevor Noah yang sempat membuat lawak mengenai insiden yang berlaku di Oscars 2022 minggu lalu. Anugerah Grammys 2022 menyaksikan dominasi tiga orang bintang iaitu Olivia Rodrigo, Silk Sonic dan Jon Bastiste.
Menepati ramalan peminat, Olivia Rodrigo dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik. Penyanyi sensasi berusia 19 tahun itu turut mendominasi kategori pop dengan kemenangan dalam dua katgeori iaitu Persembahan Solo Pop Terbaik melalui lagu “Drivers License” dan juga Album Vokal Pop Terbaik untuk album debutnya berjudul “Sour”.
Silk Sonic yang dianggotai oleh Bruno Mars dan Anderson .Paak mengungguli dua katgeori utama iaitu Lagu Terbaik dan Record of the Year melalui lagu hit mereka, “Leave The Door Open”. Mereka menewaskan pencabar utama iaitu Olivia Rodrigo, Billie Eillish, Justin Bieber, Lil Nas X, dan Doja Cat. Doja Cat bersama SZA memenangi trofi Persembahan Duo/Kumpulan Pop Terbaik dengan lagu hit mereka, “Kiss Me More”.
Jon Batiste menggungguli dengan lima trofi Grammys, termasuklah kemenangan dalam kategori terakhir iaitu Album Terbaik melalui album “We Are”. Penyanyi utama untuk rancangan bual bicara The Late Show With Stephen Colbert itu mendahului dengan 11 pencalonan keseluruhan, dan kemenangan untuk lagu “Cry”, video muzik “Freedom” serta runut bunyi filem animasi “Soul”.
Kumpulan rock, Foo Fighters yang baharu sahaja kehilangan pemain drum mereka, Taylor Hawkins, menerima penghargaan dalam tiga kategori rock. Mereka memenangi trofi Persembahan Rock Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Album Rock Terbaik. Foo Fighters dijadulanya untuk membuat persembahan tetapi terpaksa menarik diri selepas berita yang mengejutkan dunia rock itu minggu lalu.
Kontroversi tahun ini bermula selepas pengumuman senarai pencalonan untuk setiap kategori lagi. Drake menarik diri daripada dua kategori iaitu Album Rap Terbaik dan Persembahan Rap Terbaik, manakala The Weeknd turut memboikot acara tahun ini selepas menerima tiga nominasi. Bekas pemenang Album Terbaik, Kasey Musgraves pula ditarik kelayakan untuk kategori Album Country Terbaik melalui album “Star-Crossed”.
Foto: Getty Images
Baca lebih lanjut: 10 Rancangan Netflix Perlu Tonton Sepanjang April 2022