Drama Di Sebalik Wajah bakal menggantikan drama Syurgaku Tak Sempurna lakonan utama Shah Iskandar, Raja Ilya dan Uqasha Senrose ini bermula 1 Mei nanti.
Di Sebalik Wajah merupakan drama terbaru dari HyppTV yang diarahkan oleh Patrick Lim di bawah produksi Filmscape. Drama ini bakal menggandingkan Alif Aziz, Hefny Sahad, Diana Danielle dan Zarina Zainoordin.
“Uniknya adalah drama ini adalah satu drama yang penonton perlu subscribe untuk menonton dan ia adalah sebuah drama yang unik serta tidak sama seperti drama yang orang selalu tengok,” ujar Hefny Sahad yang membawa watak Fared Hanafi (Red) sebagai wartawan jenayah di dalam drama itu.
Tambahnya lagi, “Orang kita sudah terlalu terbiasa dengan drama-drama ‘love story’, golongan bangsawan. Jadi bagi saya drama ini sangat berbeza.”
Drama kedua dari HyppTV ini sebenarnya menceritakan akan kehidupan Nadia (Diana Danielle) yang mana isteri kepada Amir Hisham (Aliff Aziz) yang pada mulanya ditimpa kecelakaan dan terpaksa melakukan pembedahan plastik gara-gara kecederaan teruk yang dialaminya.
Nadia yang koma selepas kemalangan tersebut tersedar dan mengalami kekeliruan akan identiti dirinya sendiri. Berdasarkan orang di sekelilingnya, Nadia dikenali sebagai Nadia Sabrina Syamsul dan isteri kepada Amir yang mana merupakan pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.
Nadia turut dihantui dengan ilusi dan panggilan misteri yang memberitahunya untuk membunuh suaminya dan dalam masa yang sama dia sering terbayang akan seorang lelaki bernama Fared Hanafi (Red). Red telah kehilangan teman wanitanya iaitu Elisa pada hari yang sama Nadia ditimpa kemalangan dan Amir telah ditembak.
Nadia dan Red mengesyaki yang misteri kehilangan Elisa sebenarnya berkaitan dengan kemalangan yang menimpa Nadia dan insiden tembakan Amir. Dalam usaha Nadia untuk mengembalikan memorinya, Nadia bersama Red berpakat untuk menyiasat misteri yang tidak terungkai itu tetapi hubungan mereka telah menyebabkan salah faham di antara Nadia dan suaminya, Amir.
Persoalan akan bagaimana hubungan Nadia dan Amir berakhir serta adakah Red bakal menemui jawapan di sebalik kehilangan Elisa, segalanya terjawab pabila anda mengikuti 30 episod penuh Di Sebalik Wajah yang akan mula bersiaran pada 1 Mei nanti di saluran Hypp Sensasi.
Drama tersebut bakal ditayangkan setiap hari Isnin dan Selasa pada jam 9 malam.