Saya menulis artikel ini selepas usainya hari kedua EH! Raya Lounge yang kami langsungkan di Pavilion KL. Dua hari menganjurkan pelbagai kelas, dari melilit tudung, kemudian belajar bersolek dan juga menjaga kulit dan rambut, ada beberapa perkara yang menyedarkan saya betapa istimewanya EH! di mata pengikutnya.
Melihatkan barisan wajah yang menyertai kelas yang kami buka, yang datang itu ada yang muka-muka lama yang sejak dari dulu memang gemar menyertai dan menyokong apa-apa yang EH! anjurkan. Manakala ada juga sebahagiannya wajah baru, muda-muda, yang usianya mungkin ada yang lebih mudah dari penulis EH! hari ini.
Apa yang boleh saya simpulkan, rumuskan? EH! bertahan selama 25 tahun ini adalah kerana sokongan pembacanya, tak kiralah yang dari dulu membeli majalah saban bulan mahupun hari ini yang mengikuti EH! secara maya, baik menekan eh.my setiap hari atau yang mengikuti kami di media sosial.
Dan untuk mengikat jiwa pengikut-pengikut ini taklah mudah, lebih-lebih lagi di era pendigitalan, ‘kesetiaan’ bukan satu hal yang lazim. Tumpuan orang pendek, mereka boleh berubah sekelip mata dek kerana opsyen dan variasi bahan di depan mata. Sama macam kita skrol Instagram atau TikTok, yang mana menangkap mata itulah yang kita akan stop dan belek, kalau yang bosan itu kita skip dan teruskan skrol ke atas.
‘RELEVAN MERENTAS ERA’ adalah tagline ulang tahun EH! yang ke-25. Dan saya memilih tiga perkataan ini berpandukan evolusi EH! itu sendiri. Bermula sebagai majalah urban berbahasa Melayu pertama, EH! awalnya diterbitkan dua kali sebulan, kemudian menjadi sebuah edisi bulanan yang mana muka suratnya juga bertambah dek kepercayaan pengiklan dan dorongan pembaca. Selepas 20 tahun muncul dalam edisi cetak, perjalanan EH! terhenti seketika dek pandemik. Namun selepas beberapa bulan kami kembali, sepenuhnya secara digital.
Sejujurnya saat diberitahu EH! tidak lagi muncul dalam bentuk fizikal, saya agak membungkam sedih kerana saya masih belum puas mengemudi sebuah majalah cetak. Tapi saya lihat itu sebagai satu ruang pembelajaran baru, mungkin ini adalah peluang untuk saya melatih diri menjadi nakhoda sebuah pelayaran digital.
Dan sebenarnya tidaklah sukar untuk EH! (juga saya) kerana sejak 10 tahun dulu pun EH! sudah mengukuhkan platform digitalnya. Pengikut kami di media sosial juga kuat. Bahkan saya sendiri melancarkan TikTok untuk EH! selepas pandemik, dan mengusahakan kandungannya seorang diri. Dan saya buktikan dalam masa tiga bulan awal pengenalan itu saya berjaya mengumpul 100 ribu pengikut. Dari situ saya sedar, jika kita tekun dan komited, apa-apa sahaja mungkin di era digital ini.
Meraikan perjalanan EH! 25 tahun ini, pelbagai perancangan telah disusun. Kami mahu meraikan kembara ini semeriah mungkin dengan pelbagai idea baru. Saat anda membaca tulisan ini EH! Raya Lounge sedang berlangsung. Kami juga perkenalkan #EHSOCIATES, sebuah komuniti kecil EH! yang terdiri dari up and coming content creator. Kami mahu menyedikan platform buat mereka berkembang. Menjadi sebahagian keluarga EH! dan menyediakan batu loncatan untuk mereka mengembangkan networking.
Kami juga dalam fasa akhir untuk merealisasikan EH! Beauty Truck, yang mana pelbagai pelan sudah dirancang untuk merapatkan lagi EH! dengan penyokongnya, dan dalam masa yang sama mahu mendekati generasi baru. Insya-Allah tahun ini juga akan berlangsung Anugerah Stail EH!, satu-satunya anugerah anjuran majalah dalam menghargai selebriti dan orang-orang di belakangnya seperti penata gaya, jurusolek, pereka fesyen serta pendandan. Dan kami merancang mengakhiri sambutan ini dengan sebuah ‘showcase’ buat pembaca EH! menjelang akhir tahun nanti.
Tiada apa yang saya pinta dari kalian selain doa agar apa yang kami usahakan ini terealisasi dengan sempurna. Dan saya juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan kalian dari era Wirda Adnan, Asiah Mion hinggalah EH! di bawah kelolaan saya dari 2012 sampai ke saat ini. Stay tuned untuk perkhabaran keraian #EH25TAHUN.