Hari ini penyanyi nombor satu negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza meraikan ulang tahun ke-28 penglibatannya di gelanggang seni. EH! kongsikan kembali temubual penuh Rosie Haslinda Nasir bersama biduanita kesayangan ramai ini yang diabadikan di dalam edisi sulung EH!, 16 Oktober 1999.
Siti Permata Seni
Gambar MATT, FOBOS STUDIO, Pengarah Seni CHEAH WEI CHUN Solekan & Dandanan KAY AZMAN menggunakan MAYBELLINE, Baju MOSCHINO, Penyelaras LIM JIMMY
Pintu diketuk tiga kali. Si dia yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Pemalu, lemah-lembut dan berbudi bahasa. Tiga perkataan terbaik untuk melakar peribadi bintang kelahiran Kg. Awah, Temerloh, Pahang ini.
Jimmy leka-cermat membelai baju merah jambu berbulu gebu Moschino. Jurugambar dan pembantu terkejar ke sana ke mari mencari sudut cahaya terbaik. Wei Chun, penata seni yang diterbangkan khas dari Singapura semacam bertafakur. Dia merenung set penggambaran.
Siti Nurhaliza Tarudin muncul dengan baju-T biru, jeans dan sandal krim, mengepit tas tangan besar warna merah cili berbingkai emas. Wajahnya manis meskipun bogel tanpa sebarang calitan warna.
Apa barang yang Siti beli dengan duit hasil nyanyian pertama?
SeingatSiti, Siti beli sebentuk cincin emas. Tapi Siti jarang pakai. Simpan di rumah keluarga di Kuala Lipis. Siti juga beli barang keperluan rumah.
Pernahkah rasa hidup terkongkong dan tersekat untuk bergerak ke mana-mana?
Siti tak pernah membataskan diri untuk melakukan apa yang Siti mahu… tapi mestilah ada batasannya. Semenjak dahulu sehingga bergelar artis, Siti tak pula rasa dikongkong atau terkongkong. Hidup Siti seperti orang lain juga. Yang penting, Siti perlu menjaga tingkah-laku apabila berada di tempat umum.
Perkara paling Siti takuti sepanjang bergelar artis?
Kalau nak diceritakan memang banyak. Tapi yang paling Siti takuti… fitnah!
Sekarang Siti suka cincin berbatu besar. Beli di mana?
Kalau nak tahu, cincin yang selalu Siti pakai tu pemberian bapa Siti. Bapa Siti memang minat cincin, sebab itulah dia sendiri banyak pakai cincin! Biasanya dia yang pilih atau dapatkan batunya. Kemudian tempah di Kuala Lipis.
Tempat shopping paling Siti gemari? Kenapa?
Siti suka shopping di Bukit bintang, Sungei Wang Plaza, Star Hill, Suria KLCC dan juga One Utama, sebab apa saja barang yang Siti nak beli, semuanya ada di situ.
Berapa ratus atau ribu Siti habiskan sekali keluar shopping? Barang apa yang selalu dibeli?
Siti berbelanja tak menetu. Ada waktunya sikit, ada waktunya banyak. Biasanya Siti akan beli kosmetik dan pakaian. Selebihnya Siti beli barang keperluan rumah.
Perlu minta kebenaran atau pendapat daripada pengurus untuk pilih baju?
Biasanya jika apakaian kasual, Siti ikut cita rasa dan keselesaan. Tapi jika pakaian show atau majlis-majlis tertentu, siti bincang dengan pereka fesyen.
Siti ada berapa utas jam tangan?
Tak banyak, empat utas saja daripada jenama berbeza. Jam kesayangan Siti ialah Guess. Harganya tak mahal. Adalah lebih kurang RM500 dan kalau tak silap, Siti beli di Sungei Wang.
Suka mendengar muzik yang bagaimana?
Muzik sentimental. Aduh… lagu-lagu sebegini boleh mententeramkan jiwa. Yang Siti suka dengar ialah You’re My Everything (Gerard Joling), My All (Mariah Carey) dan Colour of My Love (Celine Dion).
Filem kegemaran?
Filem-filem seram. Suspens dan mendebarkan.
Perkara paling memalukan pernah terjadi dalam hidup Siti?
Haa… peristiwa Siti muncul di pentas sebelum nama dipanggil. Kejadian tu berlaku di RTM, program siaran langsung pula tu. Siti sangka Siti dah dipanggil ke pentas. Apalagi… , macam ribut Siti berdentang-dentung lari dari tingkat bawah ke belakang pentas, terus melompat ke atas pentas. Alamak! Rupa-rupanya artis lain masih di pentas. Punyalah malu masa tu. Bayangkan… satu auditorium ketawakan Siti…!
Lelaki idaman Siti?
Kalau bicara tentang lelaki (tak semestinya kekasih, ya!), Siti suka berkawan dengan orang yang kelakar, baik hati, tak ego, jujur dan pandai menjaga hati.
Siti dilihat terlalu bergantung kepada Abang Ayie dan keluarga. Sampai bila akan begitu?
Ayie sebagai abang tentulah berasa tanggungjawab untuk jaga Siti. Selain ibu bapa, Abang Ayie hadir sebagai teman dan tempat mengadu. Dalam apa jua urusan, keluarga harus didahulukan kerana tanpa restu mereka, barangkali Siti tidak berada di sini. Siti sedar, ada pihak yang kurang senang, tapi biarlah… kami sekeluarga punya ikatan yang amat kukuh.
Sepanjang hidup sebagai selebriti, Siti sentiasa menerima arahan: apa lagu untuk dinyanyikan, ke mana harus pergi, apa baju untuk dipakai. Adakah Siti benar-benar gembira, atau Siti melakukannya hanya untuk menggembirakan orang sekeliling? Adakah kerana wang? Atau kerana keluarga?
Sebagai artis, selain menerima arahan, Siti tetap ada prinsip dan pendirian. Apa jua yang dilakukan, bertolak daripada tanggungjawab. Menyanyi adalah karier Siti, dan Siti akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, insya-Allah.
Ada mengatakan Siti tidak akan pergi jauh kerana diuruskan oleh kelaurga sendiri, tidak diuruskan oleh tenaga profesional. Apa komen Siti?
Pendapat tersebut tak tepat kerana apa jua yang Siti perolehi hari ini adalah kerana keluarga. Sejak awal lagi, merekalah yang sentiasa berdiri di belakang Siti. Mengapa pula ada yang mengatakan Siti tak boleh berjaya dan tak boleh pergi jauh jika hanya diuruskan oleh keluarga?
Bagaimana kalau suatu hari nanti Siti berumahtangga, dan suami tidak membenarkan menyanyi lagi? Apa Siti lakukan?
Ha-ha…!! tak difikirkan lagi! Siti masih belum dapat ramal apa bakal terjadi. Jika suami Siti tak mengizinkan, mungkin Siti berhenti, kerana setelah berumahtangga… suami lebih utama.
Siti pernah bergambar dengan seorang adik perempuan. Mukanya seiras Siti, cuma lebih gelap dan gempal. Tidakkah dia terpengaruh dengan Siti yang suka berhias dan bermekap?
Oo… Siti Nursairah… masih dalam tingkatan empat. Dia memang minat barang mekap tapi Siti tak begitu galakkan. Kan dia masih muda…
Nama impian Siti untuk anak Siti nanti?
Eh? Tak tahu lagi! Tapi… mungkin Siti akan kekalkan nama Siti pada pangkal nama anak nanti. Hih-hih!
KATA SITI…
Ricky Martin– Lagu-lagunya bikin badan bergoyang! Tapi tariannya memang best!
Shah Rukh Khan– Tiba-tiba jiwa Siti jadi cair… dia berkarisma. Tonton filem lakonannya berpuluh-puluh kali pun tak apa!
Hitam– Hitam itu menawan. Makin dipandang makin manis…
Sejuk– Siti alah pada minuman dan makanan sejuk. Pandang saja!
Bill Clinton– Hmm, banyak yang sensasi…
Lady Diana– Dia cantik kerana sifat pemurahnya.
Putera William– Moga-moga dia pemurah macam ibunya!
Tarzan– Oooo-ooo-ooo.
Geli– Eiii! Lipas dan katak! Boleh lari 400 meter masa tu juga!
Sekolah- Kalaulah boleh pakai semula uniform sekolah dan lalui zaman indah bersama kawan-kawan…
Warung mamak– Teh tarik dengan roti canai pisang. Best!
Tanah perkuburan– Erk! Menyeramkan. Tapi suatu hari nanti kita semua akan ke situ jua…
Nik Aziz– Siti tak nak komenlah.
Mahathir– No comment.