Selepas lebih kurang 18 bulan tersimpan di dalam arkib, akhirnya hari ini kami merilis foto-foto romantis Syafiq Kyle dan Mimi Lana sempena majlis pernikahannya hari ini.
Rakaman ini sebenarnya dilangsungkan pada 4 Ogos 2023 sempena perkahwinan mereka, namun atas sebab penangguhan ijab kabul mereka berdua, kami memilih untuk menyimpan sahaja potret yang cukup berharga buat kami.
Atas penangguhan itu juga kami memilih untuk menjadikan Syafiq Kyle sebagai penghias muka depan EH! Ogos 2023 secara solo. Malah, temubual awal itu terpaksa disunting, tak semua dicatat pada artikel yang diterbitkan (boleh baca di pautan INI).
Hari ini kami memilih untuk merilis kesemua foto eksklusif ini. Salah satu foto pernah dirilis atas permintaan Mimi Lana yang mahu memuat naik di akaun Instagramnya untuk ucapan selamat hari lahir buat Syafiq tahun lalu.

Untuk penggambaran ini kami memakaikan Syafiq Kyle dan Mimi Lana dalam persalinan Louis Vuitton dan Ferragamo serta sepasang gaun putih Teruntum Putih yang dibuat khas untuk penggambaran ini. Syafiq dan Mimi tampil lengkap dengan aksesori Bulgari. Khir Khalid merias wajah keduanya dan Ckay Liow menyempurnakan dandanan. Kesemua foto dirakamkan oleh Edmund Lee.


Tahniah buat Syafiq dan Mimi, selamat melayari bahtera sebagai suami isteri, semoga pelayaran ini berlabuh di Syurga. Insya-Allah.