Kutipan panggung filem mencecah 3 juta tontonan hanya dalam sembilan hari tayangan dan dipilih sebagai perwakilan Indonesia untuk kategori Best International Feature Film (Feature Film Internasional Terbaik) pada Academy Awards ke-98 (Oscar 2026).
Sore: Istri dari Masa Depan sudah cukup mengujakan saya apabila ia bakal ditayangkan di Malaysia 25 September 2025. Berkesempatan menemu bual pelakon hero secara peribadi, jom ikuti dan baca isi hati Dion Wiyoko.
Di balik senyum tenang dan aura gentleman, Dion Wiyoko sentiasa membawa sesuatu yang segar dalam setiap projek lakonan. Dari layar kaca ke layar perak, Dion antara aktor yang mampu menghidupkan watak penuh emosi dan dimensi.

Terbaru, beliau kembali mengisi hati penonton dengan filem romantik yang sedang hangat diperkatakan, Sore: Istri dari Masa Depan.
Filem ini bukan sekadar kisah cinta biasa. Diadaptasi daripada web series popular dengan judul sama, Sore: Istri dari Masa Depan mengangkat tema tentang takdir, pilihan hidup dan pengorbanan.
Watak Jonathan lakonan Dion menjadi nadi kepada perjalanan cerita, seorang lelaki biasa yang tiba-tiba harus berdepan dengan kehadiran seorang wanita dari masa depan yang mengubah seluruh hidupnya.
Bersama EH!, Dion Wiyoko berkongsi sisi eksklusif tentang watak Jonathan, proses kreatifnya, serta apa yang istimewa dalam karya Sore: Istri dari Masa Depan, yang sarat mesej dan visual indah ini.
Tiga perkataan yang describes watak Jonathan
Introvert, degil dan dingin.
Tiga perkataan yang mendefinisi diri kamu sendiri
Introvert, rajin dan seorang family man
Apa yang istimewanya watak atau karakter kamu di dalam filem ini berbanding watak yang pernah dibawa sebelum ini?
Watak Jonathan ini kelihatan sederhana sahaja pada luaran, seorang lelaki yang hidup sendiri di Croatia, jauh daripada orang tua dan keluarga. Namun, di sebaliknya dia menyimpan luka hati dan urusan peribadi yang belum selesai. Itu menjadikan watak ini istimewa kerana ada kedalaman emosi yang perlu saya bawa dengan jujur pada setiap adegan. Jalan cerita filem ini juga sangat berbeza berbanding watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Bagi saya, yang membezakan Jonathan ialah bagaimana saya harus benar-benar memberi rasa dalam setiap babak, itulah cabaran sekaligus keistimewaannya
Babak atau skrip di dalam filem ini yang feels most personal bagi kamu?
Babak terakhir. Ia menjadi konklusi perjalanan Jonathan, bagaimana akhirnya dia berdepan dengan luka hati yang lama disimpan. Di situ terlihat usahanya untuk berkorban dan berani mengubah hidupnya. Babak itu cukup peribadi kerana ia melambangkan penyelesaian emosi yang mendalam.
Apakah satu adegan/scene di dalam filem ini yang kamu excited untuk penonton lihat?
Sudah tentu babak terakhir. Ditambah pula dengan kehadiran lagu latar ‘Terbuang Dalam Waktu’, adegan itu terasa lebih hidup dan penuh jiwa. Itu puncak klimaks cerita di mana emosi penonton akan dibawa seperti roller coaster, naik turun bersama perasaan watak.
Apakah mesej yang kamu mahu penonton bawa pulang sebaik menonton filem ini?
Setiap penonton pasti akan membawa pulang impresi yang berbeza. Bagi saya, sudah cukup membahagiakan jika penonton dapat larut dalam rasa dan emosi cerita Sore. Filem ini juga mengingatkan kita untuk menghargai orang yang kita sayang, kerana kasih sayang dan cinta yang tulus adalah jalan sebenar untuk mengubah seseorang. Perubahan tidak boleh dipaksa, ia hanya boleh lahir daripada cinta.
Apa yang kamu belajar tentang diri kamu sendiri sepanjang penggambaran filem ini?
Banyak sekali pengalaman dan pembelajaran yang saya dapat sepanjang penggambaran Sore. Antaranya, saya belajar untuk lebih menghargai orang lain, bersabar, dan menjaga hubungan baik dengan seluruh kru produksi. Kami hanya ada satu sama lain sepanjang hampir dua bulan berada di Croatia, khususnya di pekan kecil Grožnjan tempat kami menjalani penggambaran. Aktiviti harian banyak dihabiskan bersama kru, jadi pengalaman itu sangat berkesan. Ia juga mengajar saya bagaimana berdamai dengan pemikiran yang kurang menyenangkan, tetap profesional, selesa, dan terus memberikan kerjasama terbaik di set.
Kamu ada cara tersendiri dalam melakukan persiapan setiap watak baru sebelum masuk ke set penggambaran?
Saya tidak mempunyai ritual khas, tetapi biasanya saya akan melakukan rehearsal dan membaca skrip secara mendalam. Kami akan berbincang bersama untuk mencari persamaan dalam gesture, dialog, atau perasaan yang sesuai bagi setiap adegan. Persiapan yang matang itu membantu saya membawakan watak dengan lebih jujur dan berkesan.
Penggambaran filem biasanya mengambil masa yang lama, lebih dari sebulan paling kurang. Bagaimana kamu meraikan diri setiap kali tamat penggambaran?
Saya tidak ada cara khusus untuk meraikan, tetapi bagi saya hadiah paling berharga ialah dapat pulang ke rumah dan meluangkan masa bersama keluarga. Quality time bersama mereka adalah perayaan yang paling bermakna selepas projek filem yang panjang selesai.
Siapa biggest influence kamu sama ada dalam lakonan mahupun dalam kehidupan?
Kalau dalam bidang lakonan, ada banyak aktor senior yang menjadi role model saya seperti Christine Hakim dan Reza Rahadian. Saya kagum bagaimana mereka mengekspresikan watak dengan begitu jujur dan kuat di layar. Sementara dalam kehidupan peribadi, keluarga saya adalah pengaruh terbesar, terutama isteri saya, Fiona Anthony, yang selalu menjadi sumber semangat dan inspirasi.
Satu atau dua perkara yang peminat di Malaysia perlu tahu tentang diri kamu?
Saya sebenarnya seorang yang introvert dan sangat mencintai kopi. Ke mana sahaja saya pergi, saya mesti bawa coffee press sendiri kerana saya sudah ada kopi kegemaran yang spesifik.
3 item fesyen dan grooming harus ada…
Untuk grooming, saya tak boleh tinggalkan sunscreen, facial wash dan wax. Manakala untuk fesyen pula, tiga item yang wajib ada dalam gaya harian saya ialah jam tangan, sneakers dan sunglasses.
Baca: Kenali Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz, Bakal Isteri Raja Muda Selangor