EHnspirasi bulan ini, EH! bawakan bintang yang semakin bersinar, Aisha Retno, yang bukan sahaja mencapai kejayaan dalam industri muzik tanah air, tetapi juga menjadi trendsetter buat generasi muda dalam menghargai budaya pakaian tradisonal.
Nama Aisha Retno telah menjadi topik perbualan hangat warganet sejak dua menjak ini, setelah dia memukau tetamu dengan persembahan eksklusif di majlis perkahwinan selebriti Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini. Dengan suara yang merdu dan penampilan yang mempesona, bakat yang dimiliki Aisha Retno tidak dapat disangkalkan lagi.
Mempunyai suara yang merdu dan minatnya menggabungkan fesyen tradisional dan moden adalah kelebihan buat Aisha Retno. Anak sulung dari dua beradik ini meraih populariti selepas menyertai Big Stage, terus memberi inspirasi kepada generasi muda. Dalam temu bual eksklusif ini, Aisha berkongsi pengalaman, pandangan, dan kisah menarik mengenai kehidupannya, dunia muzik, dan banyak lagi.
Mari ikuti temubual yang penuh EHnspirasi bersama gadis cantik yang berketuranan campuran Melayu dan Jawa, di mana dia akan menjawab tujuh soalan bersama EH!
1. Apa perbezaan ketara tinggal di Indonesia dan Malaysia?
Perbezaan ketara adalah dari segi budaya, bahasa, dan suasana. Di Indonesia, sangat padat dan perjalanan sering terhalang oleh kesesakan jalan raya, sementara di Malaysia, walaupun ada kesesakan, ia masih boleh dianggap moderate. Menurut saya, ia lebih kepada situasi tetapi, pada dasarnya, kedua negara ini lebih banyak persamaan daripada perbezaan.
2. Jika diberi peluang, apakah perkara yang Aisha ingin ubah dalam industri muzik tanah air?
Sebenarnya, muzik tanah air kita pada zaman sekarang sudah meluas dan cukup baik untuk dilihat dari negara lain. Jadi, saya rasa tiada apa yang ingin saya ubah kerana saya pun masih baru dalam industri muzik. Tetapi kalau ada satu perkara, saya ingin mengubah pemikiran orang-orang dalam industri muzik tanah air untuk meluaskan lagi pemilihan genre-genre lagu, bukan sahaja balada tetapi juga genre lain yang orang tak tahu lagi di Malaysia.
3. Jika Aisha boleh memilih untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis termasuk yang sudah tiada, siapakah yang Aisha akan pilih dan kenapa?
Kalau international, saya ingin berkolaborasi dengan mendiang Whitney Houston, I love her music! dan juga Ariana Grande, of course! Kalau lokal pula, saya ingin berkolaborasi dengan Jaclyn Victor, Aina Abdul, dan Ernie Zakri.
4. Apa pendapat Aisha tentang bakat baharu yang dicungkil melalui sosial media seperti TikTok?
Saya rasa ia adalah sesuatu yang fresh dan sangat sesuai dengan generasi sekarang. Ia adalah sesuatu yang baharu tetapi pada masa yang sama, ia tidak original seperti zaman 90-an di mana ada pertandingan nyanyian untuk mencungkil bakat baharu. Dengan menyertai pertandingan nyanyian, mereka akan lebih bersedia secara mental dan fizikal. Tetapi, saya mengambil semua ini secara positif kerana dengan TikTok juga, kita boleh cepat dikenali apabila kita melakukan dengan betul. The terms “viral” sekarang sangat penting dan media sosial boleh membantu mempromosikan lagu dan diri kita sebagai artis dengan cepat.
5. Apakah satu item fesyen yang Aisha anggap sebagai identiti diri Aisha?
Tradisionalisme adalah konsep dalam Aisha berfesyen. Korset adalah identitI saya. Setiap kali saya pergi ke mana-mana, saya akan memberitahu stylist yang saya ingin ada ciri-ciri tradisional dalam penampilan kerana saya bangga mempunyai darah Jawa dan Kelantan dan menjadi orang Asia yang mempunyai culture yang sangat luas. Jadi, item fesyen yang menjadikan identiti saya adalah korset batik atau songket.
6. Adakah Aisha merasakan bahawa mempunyai ibu yang merupakan seorang penyanyi membuka lebih banyak peluang atau cabaran buat Aisha?
Sebenarnya ia adalah gabungan kedua-duanya. Apabila kita ada ibu yang berpengalaman dalam industri muzik, walaupun dari negara yang berbeza, ia sangat penting untuk kita meminta bantuan dan nasihat. Kadang-kadang ia memberi kelebihan kepada kita, tetapi pada masa yang sama, kita sendiri perlu berusaha. Ia tidak boleh hanya bergantung kepada ahli keluarga kita. Kita sendiri kena gigih berusaha dalam industri muzik ini. Tidak bermakna jika kita ada keluarga yang aktif dalam industri muzik, kita boleh berjaya tanpa usaha sendiri.
7. Apakah momen masa kecil bersama ibu yang masih berbekas di ingatan?
Momen yang masih berbekas di ingatan saya adalah persembahan pertama saya dan ibu, iaitu persembahan nasyid di hadapan Presiden Indonesia pada ketika itu. Ia adalah persembahan besar di stadium dan Ibu saya meminta saya sertai bersama anak-anak kecil yang lain. Ketika itu, saya masih berumur 5 atau 6 tahun. Itulah pengalaman pertama saya bernyanyi bersama ibu dan kenangan itu masih berbekas hingga sekarang.
Artikel Berkaitan: #EH!nspirasi Fariha Razak, Atlet Bola Jaring Kebangsaan