Pada usia 26 tahun, Adib Aidil bukan sekadar seorang pilot yang mengemudi pesawat di langit, beliau juga bijak menavigasi dunia digital, membina jejak inspirasi di media sosial yang memberi semangat kepada generasi muda. Dari skrin telefon ke ketinggian awan, setiap langkahnya menunjukkan bahawa kejayaan bukan sahaja diukur dari kerjaya profesional, tetapi juga dari bagaimana seseorang memberi impak positif kepada orang sekeliling.
Dalam skala 1-10, sejauh mana keterujaan tentang kehidupan kamu hari ini?
9/10. Kehidupan saya kini terasa sangat bermakna kerana akhirnya saya dapat mengembara dan melihat dunia, bukan sekadar sebagai pelancong, tetapi sebagai seorang juruterbang.
Hal terbaik berlaku tahun ini?
Dapat membawa ibu bapa saya bercuti ke New Zealand menggunakan hasil titik peluh saya sendiri. Itu satu momen yang sangat membahagiakan dan tidak ternilai.
Siapa inspirasi sewaktu membesar?
Ibu dan bapa saya. Mereka adalah tunjang kekuatan dan contoh sebenar tentang erti pengorbanan serta ketabahan.
Siapakah individu di dalam industri yang memberi inspirasi?
Saya sangat mengagumi Captain Wan, ketua saya. Dedikasinya terhadap kerjaya tetap utuh walaupun berdepan cabaran kesihatan, dan itu benar-benar memberi inspirasi.
Bagaimana kamu kekal bermotivasi dan berinspirasi?
Saya sentiasa mengelilingi diri dengan individu yang mendorong ke arah pertumbuhan dan perkembangan positif.

Cara kamu merehatkan diri?
Mengembara. Perjalanan memberi ruang untuk saya bernafas, berfikir dan kembali dengan perspektif yang lebih segar.
Apakah perkara paling mencabar yang pernah kamu lakukan?
Parasailing.
Pernahkah kamu diminta mengubah sesuatu tentang diri kamu?
Ya, berkaitan tubuh badan saya. Ia satu proses yang sedang saya usahakan dengan penuh disiplin dan kesedaran diri.
Apakah erti kejayaan bagi kamu?
Menjadi versi diri yang lebih baik berbanding semalam.
Apakah perkara terbesar yang kamu pelajari tentang diri kamu tahun lalu?
Untuk tidak terlalu berkongsi segala-galanya. Ada perkara yang lebih baik disimpan untuk diri sendiri.
Sejauh mana proses kreatif berubah secara peribadi?
Saya kini kurang memberi fokus kepada kesempurnaan dan lebih menitikberatkan konsistensi.
Apakah isu semasa yang paling dekat dengan diri kamu ketika ini?
Kesihatan fizikal dan mental. Kedua-duanya sama penting dan saling berkait.
Apa perkara utama yang membezakan generasi kamu berbading dengan generasi lain sebelum ini?
Kami lebih fleksibel dan terbuka untuk belajar perkara baharu.
Apakah salah faham lazim tentang pekerjaan kamu?
Ramai menganggap kerjaya juruterbang hanya tentang terbang dan glamor, sedangkan sebahagian besar tugas melibatkan perancangan rapi serta penyelesaian masalah.
Apakah nasihat yang akan kamu berikan kepada orang yang merasakan suara mereka tidak dianggap penting?
Cari kelompok yang benar-benar menghargai dan mendengar apa yang ingin kamu sampaikan.
Apakah plan kerjaya kamu dalam masa terdekat?
To stay healthy and grounded.
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Arahan Seni: Amirul Arif, Fotografi: Aaron lee, Lensworks Productions, Videografi: Azzem, Penata Gaya: Erdina, Pembantu Penyelaras: Farah Ain, Solekan: , Dandanan rambut: , Pakaian & Aksesori: COACH
Baca: #EHTOP20 Qasrina Karim
