Alya Iman bermula sebagai model bagi pelbagai jenama fesyen lokal seawal usianya 13 tahun. Tahun demi tahun, secara perlahan dia langkah kakinya dibuka masuk ke dunia lakonan. Antara naskhah yang pernah dibintangi oleh anak gadis aktor berkaliber, Allahyarham Azmil Mustapha ini ialah ‘Senafas Rindu’ yang menjadi siri pertama yang dibintanginya sebelum mendapat kepercayaan ramai penerbit dan pengarah hingga ke hari ini.
Pada skala 1–10, sejauh keterujaan anda tentang kehidupan hari ini?
Saya letakkan skala 8. Bersyukur, berpijak di bumi nyata, dan sentiasa mencari peluang untuk berkembang. Lapan bukan kerana semuanya sempurna, tetapi kerana saya telah belajar untuk melihat kebaikan dalam setiap fasa, termasuk ketika berada “di tengah-tengah”.
Perkara terbaik yang berlaku kepada anda tahun ini?
Saya berjaya menunaikan salah satu perkara dalam bucket list saya iaitu melihat Manta Ray!
Siapa pengaruh utama ketika membesar?
Desi Perkins, estetikanya sepadan dengan saya.
Siapa yang Alya kagumi dalam bidang ini dan mengapa?
Kalau perlu pilih satu, saya akan pilih Scha Alyahya. Saya membesar dengan menonton Awan Dania, dan saya suka bagaimana dia mempunyai tenaga maskulin dan alfa. Saya juga suka sifatnya yang merendah diri. Cara dia membawa diri dengan penuh keyakinan sangat memberi inspirasi.
Bagaimana Alya kekal bermotivasi dan sentiasa mendapat inspirasi?
Saya sebenarnya lembut di dalam, jadi kadang-kadang saya hilang kekuatan dan rasa tidak bermotivasi. Tapi saya akan kembali mengingatkan diri sejauh mana saya telah melangkah dan sebanyak mana lagi potensi yang saya miliki.
Cara terbaik untuk berehat atau mengurangkan tekanan?
Cara paling cepat ialah dengan duduk dan betul-betul “bernafas”. Kalau tidak, saya akan terus beli tiket penerbangan dan pergi bercuti.

Apakah perkara paling mencabar atau berani yang pernah anda lakukan setakat ini?
Saya bukanlah terlalu sukakan aktiviti ekstrem, tetapi apa yang boleh saya katakan saya pernah mendaki sampai ke puncak Gunung Kinabalu.
Pernah diminta untuk mengubah sesuatu tentang diri anda?
Selalunya orang akan menyuruh saya kurangkan berfikir yang berlebih-lebih. Otak saya berfungsi sedikit berbeza… haha.
Apa maksud “kejayaan” bagi Alya?
Kejayaan bagi saya ialah apabila saya benar-benar bahagia di tempat saya berada dan who I’m becoming. Ia tentang ketenangan hati, melakukan apa yang saya cintai, dan hidup mengikut cara saya sendiri.
Apakah pelajaran terbesar yang dipelajari tentang diri sendiri dalam setahun terakhir?
Pelajaran terbesar yang saya pelajari ialah bahawa ketenangan itu tidak ternilai, dan ia bermula dengan mengetahui bila kita perlu berdiam diri, bila perlu melepaskan, dan bila perlu percaya bahawa apa yang ditakdirkan untuk saya tidak akan pernah membuat saya kehilangan diri sendiri.
Bagaimana proses kreatif anda berkembang seiring perkembangan peribadi?
Seiring dengan proses kematangan sebagai individu, proses kreatif saya menjadi lebih jujur. Pada awalnya saya fokus kepada mempamerkan emosi, tetapi kini fokusnya lebih kepada merasai sendiri emosi itu. Saya belajar untuk membiarkan pengalaman dan proses perkembangan diri membentuk cara saya menyelami diri sendiri. Tidak lagi tentang mengawal diri tapi lebih kepada menjadi ‘real’.
Isu atau perjuangan apa yang paling dekat di hati anda sekarang?
Gen0s!d. Ia adalah bayangan paling gelap tentang kuasa yang disalah guna dan kemanusiaan yang diketepikan. Jika kita tidak menentangnya, kita sebenarnya sudah menyerahkan kemanusiaan kita.
Apa yang membezakan generasi anda berbanding generasi sebelumnya?
Saya rasa apa yang mendefinisikan generasi saya ialah kejujuran. Kami tidak takut bersuara, mempertikai kebiasaan yang mungkin salah, atau mengekspresikan apa yang benar. Kami hidup dalam dunia yang bergerak pantas, tetapi kami mencari dan memahami apa yang berlaku. Dalam seni, kami bukan sekadar mahu impres tapi kami mahu menyentuh hati. Kami mencari kejujuran, itulah yang membezakan kami.
Bagaimana anda menyeimbangkan kesedaran sosial dengan menjaga ketenangan diri sendiri?
Bekerja dalam industri ini bermakna hidup anda secara teknikalnya berada di media sosial. Tetapi bagi saya, saya memilih untuk menjadi manusia biasa sebiasa yang boleh. Saya menjaga privasi dengan menetapkan batas, mengawal apa yang mahu dikongsi, mengutamakan penjagaan diri serta kesedaran minda.
Apa yang salah faham lazim orang tentang diri Alya? Atau mungkin berkaitan kerjaya?
Saya rasa ramai menyangka bahawa lakonan adalah tentang berpura-pura, padahal sebenarnya sebaliknya. Ia tentang kejujuran. Setiap watak yang dibawa memerlukan saya mencari kebenaran dalam diri, walaupun adakalanya saya tak selesa. Lakonan bukan tentang lari dari realiti; ia tentang ‘menzahirkannya’ supaya orang lain dapat melihatnya sebagai sebahagian daripada diri mereka.
Nasihat apa yang anda akan berikan kepada seseorang yang rasa suaranya tidak penting?
Saya akan beritahu bahawa suara mereka tetap bermakna walaupun bukan yang paling lantang. Kadang-kadang suara paling perlahan membawa kebenaran paling dalam. Dunia tidak perlukan anda untuk terdengar seperti orang lain; dunia perlukan anda untuk mendengar dan memahaminya seperti diri anda sendiri.
Rancangan kerjaya seterusnya?
Apa yang saya mahukan bukan sekadar watak baharu, tetapi evolusi. Saya mahu terus meneroka tiap lapis diri saya, sebagai pelakon mahupun sebagai seorangw anita. Saya mahu hidup dengan lebih jujur, merasai lebih mendalam, dan membawa kebenaran itu ke dalam kerja saya. Semakin saya dewasa, saya mahu seni itu matang bersama saya.
