Killa Driz membuat kemunculan sulung yang menggegarkan di pentas 16 Baris Musim 3, program rapper bebas paling berprestij di Asia Tenggara, menampilkan lirik yang tajam dan gaya persembahan yang penuh karisma. Bakatnya tidak berhenti di situ, lagu duet terbaru beliau bersama Sona One dan Joe Flizzow telah mencatat lebih 465,000 tontonan, membuktikan bahawa Killa Driz bukan sahaja nama yang diperhati, tetapi juga artis muda yang mampu memikat hati peminat hip-hop di seluruh rantau.
Pada skala 1 hingga 10, sejauh mana anda teruja dengan kehidupan anda sekarang?
Saya beri skor 7. Hidup ini penuh dengan nikmat yang patut disyukuri, tetapi kita juga tidak boleh terlalu selesa atau terlalu terhanyut dengan cabaran yang datang.
Perkara terbaik yang berlaku kepada anda tahun ini?
Salah satu detik paling bermakna adalah peluang berkolaborasi dengan Joe Flizzow dan Sona One. Sebagai seorang rapper, peluang sebegini jarang datang, dan saya memang mengagumi kedua-dua nama ini. Bekerjasama dengan mereka adalah pengalaman yang sangat berharga.
Siapakah individu yang paling banyak mempengaruhi anda semasa membesar?
Dari segi fesyen, saya terinspirasi oleh gaya Brad Pitt. Dalam muzik pula, Jay-Z, Joe, dan Big Sean banyak membentuk cita rasa dan identiti muzik saya.
Siapakah yang anda kagumi dalam bidang anda dan mengapa?
Secara jujur, Joe Flizzow dan Sona One memang menjadi idola saya.
Bagaimana anda mengekalkan motivasi dan inspirasi diri?
Berkumpul dengan kawan-kawan sekolah lama mengingatkan saya tentang siapa diri saya yang sebenar. Ia menjadi sumber inspirasi. Untuk motivasi, saya gemar bersenam atau melakukan aktiviti yang membuatkan diri segar dan fokus.

Cara terbaik untuk berehat atau melepaskan tekanan?
Tidur, menonton filem, dan bermain permainan video adalah cara saya ‘decompress’. Jika bukan untuk kerja atau masa bersama keluarga, saya memang akan luangkan masa untuk gaming.
Apakah perkara paling mencabar atau berani yang pernah anda lakukan/alami?
Menaiki roller coaster …hahaha tetapi saya sebenarnya takut. Saya mencuba sekali sahaja dan tidak bercadang untuk mengulanginya.
Pernahkah anda diberitahu untuk mengubah sesuatu tentang diri anda?
Pernah. Saya akan menilai nasihat itu dan ubah jika ia memberi kebaikan kepada diri saya. Jika tidak, saya kekal dengan diri sendiri.
Apakah maksud “kejayaan” bagi anda selain daripada angka dan kemasyhuran?
Bagi saya, kejayaan ialah mampu menyeimbangkan masa, melakukan apa yang disukai, mendapat rezeki yang mencukupi, dan menjaga hubungan dengan orang sekeliling.
Apakah pengajaran terbesar yang anda pelajari tentang diri anda sepanjang tahun lalu?
Belajar mengawal apa yang kita mampu kawal dan melepaskan perkara di luar kawalan. Terlalu risau tentang perkara yang tidak dapat dikawal hanya akan membuatkan kita penat dan hilang fokus.
Bagaimana proses kreatif anda berubah seiring dengan perkembangan peribadi anda?
Saya sedar, semakin jujur saya menulis lagu, semakin mudah proses kreatif itu. Dulu, saya sering terikut trend rapper lain untuk nampak “cool”. Namun apabila mula menulis tentang pengalaman sendiri, semua menjadi lebih tulen dan autentik.
Isu atau sebab apakah yang paling dekat di hati anda sekarang?
Isu kemanusiaan, terutama keamanan global. Apa sahaja yang melibatkan nyawa dan ketidakadilan memberi kesan mendalam kepada saya, dan saya berharap dunia lebih aman.
Apa yang anda fikir membezakan generasi anda berbanding generasi sebelumnya?
Salah satu perbezaan jelas ialah cara kita berkomunikasi dan bahasa yang digunakan. Namun, dari segi pemikiran, saya percaya kita semua serupa cuma gaya sahaja berbeza.
Bagaimana anda menyeimbangkan kesedaran sosial dengan melindungi ketenangan diri?
Saya kurangkan masa bermain di media sosial dan lebih banyak meluangkan masa dengan orang yang dipercayai kawan dan keluarga. Kami saling mengingatkan antara satu sama lain, dan ini sangat membantu.
Apakah sesuatu yang sering disalah faham tentang anda atau kerja anda?
Dulu ramai menyangka saya “arrogant”. Sebenarnya saya hanya seorang yang pendiam. Bila mereka benar-benar mengenali saya, mereka akan faham saya bukan seperti itu. Kadang-kadang saya hanya banyak berfikir dalam diam.
Apa nasihat yang anda akan berikan kepada seseorang yang merasakan suara mereka tidak penting?
Teruskan bersuara sehingga suara itu didengari. Pada waktunya, ia pasti menjadi penting.
Apakah plan kerjaya anda dalam masa terdekat?
Fokus saya kini adalah album pertama saya. Ia bukan sekadar projek kerjaya, tetapi sangat peribadi, mewakili pengalaman dan perasaan saya tentang hidup serta diri sendiri.
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Arahan Seni: Amirul Arif, Fotografi: Edmund Lee, Hexa Production, Penata Gaya: Erdina, Pembantu Penyelaras: Farah Ain, Grooming: Razzi Musa, Dandanan: Miedy Daniel, Pakaian & Aksesori: COACH
Baca: #EHTOP20 Arisa Soraya
