Jika disoal pertanyaan siapakah antara barisan selebriti Malaysia yang stylish, nama Scha Alyahya pasti meniti dibibir. Tetapi secara peribadinya yang membuatkan dia ‘fesyen’ bukan pada zahir yang digayakan semata, tetapi adalah himpunan personaliti diri, cara membawa diri, keyakinan dan bagaimana dia melayan orang sekeliling. Bagi saya itu yang meletakkan Scha di mana dia berada hari ini. Resume karier ‘Awan Dania’ ini tidak terhad kepada berlakon dan menjadi duta pelbagai jenama, malah dia juga pernah aktif sebagai hos, malah pernah memikul tugas besar mengacara program hiburan perdana seperti Anugerah Juara Lagu. Dedikasi dan kebijaksanaannya dalam menyusun jaluran kerja dan peribadi membuatkan namanya kekal mekar sampai ke hari ini.
Apa yang kamu suka tentang diri kamu?
Saya seorang yang sentiasa curios. Jadi saya suka baca setiap soalan yang menarik minat saya. Saya seorang yang organized, suka menyusun dan merancang semua benda. Tapi saya masih seorang yang agak fleksibel. Saya suka logik, dan seimbangkan semua hal dalam hidup, peribadi, kerja dan sosial.
Kamu rasa lebih tua atau lebih muda dari usia sebenar?
Dari segi tenaga dan fokus, saya dapat rasakan ia selari dan seiring dengan usia saya. Mentally I feel great dan lebih tenang. Secara keseluruhannya saya rasa sihat tapi saya memilih untuk tidak push myself harder seperti dulu khususnya yang melibatkan fizikal, di gim misalnya.
Apakah satu perkara yang kamu harap mempunyai peluang melakukannya lebih kerap?
Saya harap saya mampu membantu lebih banyak dan kerap untuk mereka yang memerlukan agar dunia menjadi tempat yang lebih baik untuk semua.
Apakah rutin atau perkara harian yang membuatkan kamu feel good?
Hakikatnya yang saya punya masa untuk berada di gimnasium sewaktu anak-anak berada di sekolah. Dan saya juga diberi peluang untuk mengimbangi peranan saya sebagai ibu dan juga kerjaya. Rutin yang terus saya lakukan dari dulu ialah setiap kali selepas bekerja ialah mandi dan suapkan makanan untuk mereka berdua serta membantu mereka menyiapkan kerja sekolah.
Jika kamu diberi peluang kedua untuk mengulangi satu momen dalam hidup, apakah ia?
Momen sewaktu bersekolah, saya akan pilih aliran yang betul dan belajar bermain instrumen serta mendalami minat lebih mendalam dalam dunia kreatif atau mungkin dunia psikologi.
Jika kamu boleh katakan sesuatu kepada diri kamu sewaktu remaja dulu, apakah ia?
Belajar untuk berkata tidak dan berani. Tapi mesti SELALU INGAT untuk merendah diri dan bersikap baik apabila kita belajar untuk berkata tidak (no).
Jika kamu tidak perlu bekerja untuk mendapatkan duit, bagaimana kamu mengisi masa kamu?
Mengembara, bersukan dan bermain instrumen sebagai hobi. Saya juga mahu belajar skil-skil baru dan dedikasi diri saya untuk kebajikan dan mengubah dunia.
Jika kamu boleh memilih superpower, apakah yang menjadi pilihan?
Untuk memiliki ‘superstrength’ supaya tak perlu risau tentang hal kesihatan.
Apakah definisi ‘happy life’ bagi kamu?
Balance! Cuba untuk menyeimbangkan semuanya, gembira sentiasa dan tenang, pabila apa yang kita mahukan menjadi kenyataan. Bagaimana untuk memilikinya? Ubah pemikiran kita, belajar untuk sentiasa bersyukur dan menjadi seorang yang optimistik dalam segala hal.
Kongsi sedikit kehidupan kamu ketika berusia 25 tahun?
Baru berjinak dengan dunia hiburan. Masih mencari identiti dan apa yang saya mahukan dalam hidup. Waktu itu saya tak berapa yakin untuk menjadi seorang selebriti kerana saya baru berhenti bertugas sebagai pramugari, masih tercari-cari langkah dalam hidup.
Ucapan buat EH! sempena ulang tahun ke-25
Terima kasih kerana selalu percayakan saya, sejak dari saya bermula hingga ke hari ini. Saya berysukur atas kepercayaan dan dorongan serta platform yang diberikan kepada saya untuk terus berhubung dengan peminat saya. Selamat ulang tahun ke-25, you guys are truly inspiring! Here’s to many more years of success.