Pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu tiga tahun berturut-turut ini muncul dengan naskhah baharu, istimewa buat peminat setianya.
Dayang, Sayang & Cahaya adalah album terakhir daripada penyanyi kelahiran bumi kenyalang ini. Dan bulan ini Dayang Nurfaizah mengubati kerinduan peminat setianya dengan satu naskhah yang cukup istimewa.
Album ini yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul turut menampilkan tiga lagu yang sudah sedia menjadi kegilaan penggemar muzik tempatan iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan juga Lelaki Teragung.
Malah lebih istimewa, album ini turut memuatkan versi live di AJL untuk ketiga-tiga lagu tersebut. Dan tujuh lagu baharu melengkapkan album ini dengan 13 trak kesemuanya.
Dan lagu yang sedang asyik membuai perasaan peminat Dayang hari ini pastinya lagu ciptaan Ajai, Separuh Mati Ku Bercinta. Antara lagu lain yang terkandung di dalam album ini ialah Usah Dibilang Cinta, Layarlah Kembali, Takdir dan Dalam Diam. Hari ini album ini sudah boleh dimiliki secara digital menerusi pembelian di Itunes.
Cover album terbaru Dayang Nurfaizah ini juga mendapat perhatian, dan menerima respon positif daripada peminat setianya. Dengan konsep hitam putih, cover album ini dirakamkan oleh jurugambar fesyen terkenal, Chuan Looi. Solekan, dandanan juga tatagaya Dayang pula disempurnakan oleh Khir Khalid.
Lebih istimewa, sempena pelancaran album ini Dayang Nurfaizah juga bakal mengadakan showcase istimewa pada 18 April di MATIC, Kuala Lumpur. Kesemua tiket showcase ini sudah habis terjual dan mereka yang hadir kelak berpeluang menjadi antara orang pertama yang melihat Dayang Nurfaizah mendendangkan kesemua lagu yang terkandung di dalam album ini secara live.
Saya sendiri tidak sabar mahu mendengarkan Dayang mempersembahkan lagu Usah Dibilang Cinta, yang mana merupakan trak kegemaran saya dalam album ini.