Tanggal 22 Januari 2017 akan menjadi antara detik paling bermakna dalam perjalanan karier Dayang Nurfaizah. Selain berjaya mengekalkan kemenangan bagi kategori Vokal Terbaik di pentas Anugerah Juara Lagu tiga tahun berturut-turut, dia juga melakar kenangan manis pabila lagu nyanyiannya meraih tempat pertama di Anugerah Juara Lagu ke-31 buat pertama kali.
Dayang juga mencipta sejarah peribadi pabila dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong sejak mula menyertai Juara Lagu menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta pada Juara Lagu ke-16, yang mana lagu tersebut menjuarai kategori balada. Dan dia juga meraih kemenangan bagi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu Erti Hidup di Juara Lagu tahun 2004.
Selain persembahan, penonton juga sering teruja melihat apakah yang akan digayakan Dayang di pentas AJL. Sejak kemunculannya dengan gaun ‘sotong’ (gelaran yang diberikan oleh sesetengah peminat seni, mungkin ‘haters’) di pentas AJL29, ramai yang ternanti-nanti apakah lagi gaya yang bakal ditampilkan Dayang. Senang berkolaborasi dengan pereka fesyen ternama, Datuk Rizalman, Dayang menyerahkan soal rekaan sepenuhnya kepada Rizalman.
Selepas mencipta gaun ‘penyapu’ tahun lalu, tahun ini glam squad Dayang mahukan sesuatu yang lebih ringkas dan lari dari idea gaun atau sesuatu yang terlalu feminine juga glamorous. Bersesuaian dengan lagu, tahun ini Dayang memilih untuk menggayakan sesuatu yang lebih bold dengan suntikan elemen maskulin pada penampilannya. Seiring dengan idea, Rizalman menghasilkan jumpsut kelabu (corak genggang besar) yang dihiasi batu-batu kristal dan dipadankan dengan kot labuh yang menggunakan fabrik baldu.
Melengkapkan penampilannya, Dayang mengenakan aksesori yang cukup minimum namun impactful. Dia mengenakan anting-anting J.W. Anderson yang dibeli jurusolek favourite nya Khir Khalid di London hujung tahun lalu. Dayang juga menyarung sepatu tinggi Charlotte Olympia, sesuai dengan potongan jumpsutnya yang berpotongan lebar.
Tatarias dan dandanan Dayang disempurnakan oleh Bosco yang mencipta gaya solekan bold. Mata Dayang beradun ton coklat dan gangsa dalam variasi tekstur, dari pusam hingga ke metalik. Dan bibirnya disalut gincu coklat gelap dalam tekstur pusam. Kuku Dayang juga ‘dicat’ dengan warna perak.