Kecoh di laman sosial berhubung kontroversi antara pelakon, Zahirah Macwilson, Emma Maembong dan Kamal Adli sehinggakan tersebarnya paparan skrin perbualan di antara mereka.
Hubungan Emma Maembong dan Kamal Adli yang sebelum ini dilihat baik bersama sehinggakan sudah ada perancangan mahu melangkah terus ke majlis pernikahan jika jodoh itu ada, akhirnya berakhir begitu sahaja. Apa yang mengeruhkan lagi keadaan apabila nama Zahirah Macwilson pula yang terpalit sama.
“Saya sudah tahu siapa Kamal yang sebenarnya dan hubungan kami putus,” ungkap ringkas Emma kepada BH Online.
Putusnya hubungan cinta di antaranya dengan Kamal dikatakan akibat campur tangan orang ketiga, yang mana menjadi punca nama Zahirah diperkatakan.
“Rasanya cukuplah sampai di sini. Saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini kerana tidak mahu disalah erti oleh mana-mana pihak. Malah, ada yang menganggap saya cemburu buta. Sebagai pelakon, semestinya saya memahami kerjaya sebagai anak seni. Bagi saya, ‘chemistry’ (keserasian) yang tercipta antara pelakon, habis sebaik saja kamera dipadamkan dan tidak harus berpanjangan hingga ke luar lokasi. Kalau betul kemesraan di tunjukkan atas urusan kerja, kenapa perlu sorok seperti menyembunyikan sesuatu? Saya tidak boleh bersama dengan orang yang menipu dan kemudian menuding jari supaya kesalahan diletak pada bahu orang lain,” katanya kepada BH Online.
Umum tahu yang mana Zahirah dan Kamal bekerjasama dalam drama Duda Pujaan Dara yang disiarkan di saluran Astro baru-baru ini. Mahu membersihkan nama, Zahirah tampil mengeluarkan kenyataan di laman Instagram dalam menjelaskan keadaan sebenar yang dihadapinya.
Menerusi entri awal hari ini yang mana kini telah dipadamkan, Zahirah telah berkongsi gambar paparan skrin perbualannya dengan Kamal berhubung kontroversi yang mencemarkan namanya itu.
“Saya bertemu dengan pasangan ini (Emma dan Kamal) 17 hari lalu untuk menyelesaikan perkara ini…tapi nampaknya, ia jelas belum berakhir. Saya terpaksa muat naik benda ini sebab sudah penat berdiam diri dan dituding jari sebagai punca,” luahnya.
Melihat pada keterangan yang ditulis seiring dengan paparan skrin tersebut, Zahirah dilihat cukup kesal pabila dirinya dituduh sebagai ‘orang jahat’ dalam kemelut cinta pasangan itu.
Antara mesej perbualan Zahirah dan Kamal berbunyi, “Petik nama orang pandai, ‘kencing’ (tipu) kekasih pandai, melindungi kesalahan sendiri pada media pandai, kutuk kawan baik pandai. Tapi kalau awak (Kamal) tak boleh jadi profesional, jangan palitkan orang lain pula. Jangan hina nama, kerja dan hidup orang. Jadi matang sikit. Jangan nak perasan lebih. Fokus dekat kerja daripada menjahanamkan imej orang lain. Tak fasal-fasal sebab kerja bangang macam ini, orang lain nampak buruk. Hentikan penceritaan itu semua.”
Difahamkan yang mana Kamal terus menerus memetik nama Zahirah ketika pergaduhan di antara mereka berdua sehinggakan Emma beranggapan seakan ada sesuatu di antara mereka (Zahirah dan Kamal) ketika bekerjasama di dalam drama terbitan Astro itu.
Ia termasuklah kononnya Kamal dan Zahirah telah pergi menonton filem dan berkaraoke bersama. Namun, Zahirah menjelaskan yang mana ketika penggambaran drama itu, dia hanya memberi tumpuan kepada kerja sahaja.
Sebelum ini, Emma, Kamal, Zahirah dan Zul Ariffin pernah duduk berbincang bersama mengenai isu ini, tetapi seakannya ia masih belum berakhir.
Terkini, Zahirah memuat naik entri baru dengan mesej meminta maaf kepada peminat drama gandingannya dengan Kamal itu berikutan kontroversi yang melanda.
https://www.instagram.com/p/BaqddA5D049/?taken-by=zahirahmacwilson
Tulisnya, “Jika seseorang itu salah, mereka perlu diperbetulkan, tiada lagi berita dari saya mengenai ini. Saya pasti akan ada lagi banyak artikel yang akan keluar selepas ini. Saya mengambil serius akan hal ini sebagai satu perkara yang bukan untuk ditertawakan. Saya mengharapkan permohonan maaf akan dibuat kelak. Jangan bergaduh di antara kamu.. Cukuplah kami yang bergaduh. Ia sedih pabila seorang teman kerja atau sesiapa sahaja ditikam dari belakang. I’m sorry to all my DPD fans, a good show with a bad twist.”
Kapsyen tersebut diiringi dengan entri bertulis menjelaskan keadaan yang sebenar.