Penerima Oscar, Emma Stone akan menimang cahaya mata pertama bersama suaminya, Dave McCary.
Aktres popular, Emma Stone telah disahkan sedang sarat mengandung cahaya matanya yang pertama. Pelakon berusia 32 tahun itu telah mengikat tali perkhawinan bersama Dave McCary pada September tahun lalu dalam satu majlis yang tertutup.
Bintang Hollywood itu dilihat bersiar di sekitar kota Los Angeles, California bersama seorang rakan sambil memegang perutnya yang semakin membesar pada penghujung tahun lalu. Emma yang memakai pelitup muka mengenakan pakaian rona hitam bersama topi dan kasut sukan cukup kasual.
Emma bertemu suaminya buat pertama kali ketika penggambaran rancangan Saturday Night Live pada 2016. Ketika itu, Dave yang merupakan seorang penulis mengarahkan sketsa komedi yang dibintangi oleh Emma berjudul ‘Wells for Boys’. Kisah percintaan mereka terjalin selama tiga tahun sebelum menamatkan zaman bujangnya tahun lalu.
Menurut sumber, Emma kini cukup bahagia dengan kehidupan baharunya sebagai seorang isteri. Walau bagaimanapun, Emma dan Dave masih belum mengesahkan perkahwinan mereka kepada peminat dan media. Mereka telah mengikat tali perkahwinan selepas setahun mengumukan pertunangan mereka.
Baru-baru ini, Emma telah dikhabarkan menarik diri daripada sebuah produksi filem terbaharunya bersama Brad Pitt kerana konflik jadual. Penggambaran filem tersebut terpaksa ditangguhkan kerana jumlah kes pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di Amerika Syarikat. Berkemungkinan besar penarikan dirinya itu kerana dia kini sedang sarat mengandung.
Emma yang popular dengan filem seperti The Amazing Spider-Man, The Help dan Birdman telah dinobatkan sebagai Aktres Terbaik di Anugerah Akademi pada 2016 melalui filem musikal, La La Land.
Baca lebih lanjut: Yuna, The One & Only (… and Original)
Foto: Instagram @davemccary