Nadia Brian berkongsi berita duka bahawa empat ahli keluarga termasuk ibu dan neneknya positif Covid-19.
Dalam membilang hari meraikan ketibaan satu Syawal, aktres Nadia Brian berhadapan dengan berita yang memang kita semua tidak mahu dengar ketika ini. Berpandukan perkongsiannya di media sosial, Nadia bercerita bahawa beberapa orang ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 termasuklah ibu dan neneknya.
Dalam perkongsiannya di Instagram itu dia cukup risaukan seluruh ahli keluarganya termasuk neneknya, Rugayah Mat memandangkan usia neneknya itu sudah pun mencecah 75 tahun. Tambahan pula neneknya itu mempunyai masalah penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Namun begitu menurut Nadia neneknya itu tidak menunjukkan sebarang simptom buat masa ini.
Menurut Nadia Brian, adik lelakinya merupakan ahli keluarga pertamanya yang dijangkiti virus itu dan kerana itulah juga mengapa seluruh ahli keluarganya mula melakukan ujian. Menurut Nadia hari ini dia juga akan melakukan sekali lagi ujian Covid walaupun pada ujian pertama dia disahkan negatif.
Nadia juga memohon semua pengikutnya di Instagram dapat mendaokan kesihatan ahli keluarganya dan sama-sama mengingatkan semua agar sama-sama menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang musim pandemik ini.
Dalam masa yang sama juga, pelakon Nora Danish dan Tiz Zaqyah juga disahkan positif Covid-19. Nora Danish dikhabarkan sedang menjalani kuarantin sendiri di rumah memandangkan dia tidak mempunyai sebarang simptom. Dan mengikut jadual dia sepatutnya mendapatkan suntikan vaksin hari ini namun terpaksa dibatalkan atas nasihat doktor.
Kami di EH! mendoakan agar negara kita semua dipelihara dan dilindungi, semoga pandemik ini pantas berakhir dan kita dapat menikmati kehidupan sama seperti dulu.