Oleh: Farhana Fuad
Hari ini tanggal 9 Mei, selamat sudah Fahrin Ahmad diijab kabulkan bersama pasangannya, Elena Hani Eleas yang sebelum ini dirahsiakan mengenai perhubungan mereka. Pagi tadi, bertempat di Sime Darby Convention Centre berhadapan dengan 250 orang ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan media, Fahrin sah bergelar suami kepada Elena.
Apabila ditanya kepada kedua-dua mempelai ini mengenai perhubungan mereka yang dirahsiakan ini, Fahrin menjawab “Saya rasa, kerahsiaan itulah membawa kepada kelancaran. Kerahsiaan itu juga yang menjaga hati banyak pihak, terutama Elena dan keluarganya. Saya sangat skeptikal terhadap dunia masa sekarang di mana orang ada platform untuk memfitnah, berkata-kata tanpa usul periksa di dalam media sosial terutamanya. Jadi saya rasa merahsiakannya itu adalah jalan yang terbaik.”
Elena dan Fahrin sudah mengenali antara satu sama lain sejak di zaman universiti lagi, di mana mereka berdua mengambil jurusan yang sama iaitu Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Semasa di universiti, Fahrin dan Elena hanya saling mengenali tetapi tidak berkawan. Namun, atas sebab jodoh itu kuat, selepas 17 tahun, Fahrin dan Elena bertemu kembali yang hanya bertemu atas sekadar untuk bertanya khabar. Sehingga hari ini, sesi bertemu kembali mereka ini masih belum sampai setahun.
Mereka mengambil keputusan untuk bernikah juga hanya dalam masa beberapa bulan sahaja dari detik permulaan mereka bertemu semula. Tatkala ditanya lagi kepada Fahrin, apakah yang membuatkan Fahrin mengambil keputusan untuk menjadikan Elena sebagai isterinya, Fahrin menjawab “Dia merupakan seorang yang bijak, matang, hatinya juga sangat kuat.”
Keunikannya lagi, majlis pernikahan antara Fahrin dan Elena ini tanpa sebarang barangan hantaran seperti majlis pernikahan selebriti-selebriti atau kebiasaan adat Melayu melengkapkan majlis. Hanya berbentukkan cincin serta mas kahwin RM80 tunai menjadi tanda ikatan cinta mereka yang ikhlas dan suci. Mereka mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang hantaran kerana bagi mereka sebelum ini pernah antara mereka memberikan barangan kepada antara satu sama lain dan cukup dengan ikatan yang sah itu.
Elena merupakan seorang ketua pramugari di syarikat penerbangan antarabangsa terkemuka Emirates Airlines bermula tahun 2007 lagi. Dan kini Elena masih lagi bekerja dan menetap di Dubai.
Tatkala bertanya soal berbulan madu, katanya esok mereka bakal berangkat ke lokasi berbulan madu iaitu di Venice dan France. Atas sebab cuti yang terhad, Elena hanya dapat mengambil cuti selama 10 hari dan sejurus pulang dari berbulan madu, dia akan terus menyambung kerjayanya sehingga segala urusan perpindahannya semula ke tanahair selesai.
Majlis resepsi pula mungkin akan diadakan sekitar Ramadhan atau selepas Aidilfitri nanti. Hari ini juga merupakan hari kelahiran Fahrin Ahmad yang ke-36 tahun yang diambil menjadi tarikh pernikahan mereka. Semoga hubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat.