Lee Jung Ha meraih perhatian dan pujian peminat K-Drama atas dedikasinya dalam siri sains fiksyen terbaharu, Moving.
Aktor berusia 25 tahun itu berkerja keras untuk menjayakan wataknya bukan sahaja melalui lakonan dan emosi tetapi juga penampilan fizikal. Lee Jung Ha mendedahkan dia mengikuti pelan diet khusus untuk menambah 30 kilogram berat badan bagi menjiwai peranan Kim Bong Seok.
Siri berdasarkan webtoon eponim oleh Kang Full ini berkisar tentang tiga pelajar sekolah menengah yang memiliki kuasa luar biasa. Moving turut dibintangi oleh Ryu Seung Ryong, Han Hyo Joo, Zo In Sung, Cha Tae Hyun, Ryoo Seung Bum Kim Sung Jyun, Lee Jung Ha, Go Youn Jug dan Kim Do Hoon.
Jadi siapakah Lee Jung Ha, pelakon kacak yang semakin menjadi pujaan ramai ini?
Aktor yang dilahirkan pada pada 23 Februari 1998 ini amat meminati dunia lakonan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Setelah tamat belajar, dia dipilih menjadi pelatih di JYP Entertainment namun membuat keputusan berhenti kerana tidak mampu bersaing dengan pelatih lain. Tuah menyebelahinya apabila dia ditawarkan kontrak daripada syarikat pencarian bakat, Namoo Actors.
Atas nasihat agensi itu pada 2017, dia menyertai The Unit: Idol Rebooting Project, program realiti untuk artis yang telah pun menapak dalam industri hiburan. Dalam satu sidang akhbar, dia mengakui tidak mahir menyanyi dan menari namun mencuba nasib untuk menjadi artis di JYP Entertainment.
“Saya tidak mempunyai bakat untuk bersaing dengan pelatih lain ketika itu, jadi saya tinggalkan agensi. Saya masih menyesal sehingga kini,” katanya.
Kerjaya Lakonan Lee Jung Ha
Aktor berketinggian 180 sentimeter ini gagal melayakkan diri ke pusingan akhir The Unit: Idol Rebooting Project. Bagaimanapun dari situ pintu rezekinya dalam bidang lakonan terbuka satu persatu. Dia mula terlibat dalam pelbagai siri web Korea termasuk Heart Attack Warning, Want More 19 dan Travel Story.
Lee Jung Ha membintangi drama televisyen pertamanya menerusi Rookie Historian Goo Hae Ryung di samping Cha Eun Woo dan Shin Se Kyung pada 2019. Setahun kemudian, dia muncul dalam siri Run On sebagai Kim Woo Shik, seorang pelari pecut. Pada 2021 dia terlibat dalam siri Netflix sulungnya berjudul Nevertheless yang diterajui oleh Han So Hee dan Song Kang. Lee Jung Ha menggalas watak sampingan sebagai Kim Eun Han.
Baca: Kenali Young Mazino, Bintang Siri Beef Yang Berjaya Mencuri Hati Penonton