Akhirnya teka-teki yang selama ini menjadi tanda tanya ramai terjawab menerusi sidang media khas yang diadakan bersama pasangan yang hangat diperkatakan ini.
Petang semalam telah berlangsungnya satu sidang media tergempar bersama pasangan popular, Fattah Amin dan Fazura di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Baru sahaja tiba dari Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah, pasangan ini terus ke lokasi yang dijanjikan untuk melakukan sidang media bersama rakan-rakan media.
Kedua-duanya tampil cukup sopan dan serba putih, Fattah memulakan sidang media dengan meminta maaf kerana kelewatan mereka tiba di situ berikutan masalah waktu penerbangan yang tertunda selama tiga jam.
Cukup terang dan jelas, Fattah berkongsi berita gembira bahawasanya mereka sudah pun mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu. Pada tarikh tersebut, pihak keluarga Fattah sudah pun datang merisik sekaligus melangsungkan majlis pertunangan di kediaman keluarga aktres jelita, Fazura.
“Dengan lafaz Bismillah, saya ingin berkongsi berita gembira yang mana pada 13 November lalu, keluarga saya telah menghantar rombongan merisik dan seterusnya rombongan bertunang ke rumah keluarga Fazura. Dan Alhamdulillah, perjalanan majlis merisik dan bertunang itu telah selamat dijalankan,”jelas Fattah di sidang media tersebut.
Fattah turut mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminat serta rakan-rakan media yang sentiasa mendoakan yang baik-baik buat mereka kerana majlis pertunangan itu telah pun berjalan dengan lancar sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci Mekah.
“Sebabnya kenapa kami tidak mahu berkongsi akan tarikh 13 haribulan itu lebih awal kerana kami dan keluarga bersepakat untuk berkongsi akan berita itu selepas kami pulang dari menunaikan umrah. Itu adalah permintaan keluarga kami dan kami juga merasakan yang kami mahu fokus ke atas ibadah umrah dan syukur ibadah tersebut juga telah berjalan dengan lancar serta kami sebenarnya memang berniat untuk membuat pengumuman selepas kami balik. Jadi hari ini adalah hari yang sesuai untuk kami berkongsi akan berita majlis pertunangan itu. Tetapi ketika kami berada di sana, kami dengar pelbagai berita dan spekulasi tentang kami di laman-laman sosial, sedangkan berita sebenar sepatutnya keluar dari mulut kami dan keluarga kami sendiri,” tambahnya yang mana kesal akan berita-berita yang tidak benar.
Sebelum ini kecoh di laman sosial mengatakan yang mana pasangan ini berniat untuk bernikah di Mekah, dan perkara itu juga ditolak sekeras-kerasnya oleh pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu.
“Kami tidak bernikah di Mekah dan kami belum bernikah. Dan tidak ada apa-apa perbincangan pasal resepsi mahupun tajaan hotel. Apa yang kami sedang merancang selepas ini adalah untuk melalui proses pernikahan seperti orang lain iaitu mahu menjalani kursus perkahwinan macam orang lain juga. Meskipun kami bergelar artis, ia tiada pengecualian dan kami turut akan mengikuti kursus perkahwinan. Selepas itu, kami akan mengikuti proses permohonan untuk bernikah dan seterusnya doakan yang baik-baik, kami akan bernikah InshaAllah tidak lama lagi,” terang Fattah.
Pada masa yang sama, Fattah turut menerangkan yang mana atas permintaan keluarga, mereka meminta untuk diberikan sedikit ruang privasi untuk mereka mengadakan majlis pernikahan mereka secara tertutup.
“Atas permintaan keluarga, kami mahu diberikan sedikit ruang privasi untuk kami mengadakan majlis pernikahan itu nanti secara tertutup. Dan InshaAllah, jangan risau kerana resepsi nanti kami akan ajak semua rakan media. Dalam perancangan ada dua resepsi yang mana satu resepsi untuk keluarga dan rakan media, manakala satu lagi resepsi untuk peminat-peminat kami,” katanya.
Fazura turut menambah yang mana dia merasakan kesal terhadap segelintir laman berita yang melaporkan perkara yang tidak benar tentang mereka serta sehinggakan ada yang cuba mengambil gambar kediaman neneknya pada malam 14 November lalu. Baginya perkara itu sangatlah tidak beretika kerana mengganggu ruang privasi mereka serta sekaligus menunjukkan sifat tidak hormat terhadap keluarga mereka.
Bahkan, Fazura turut kesal akan laporan serta spekulasi yang dibuat sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat-peminat mereka. Fazura juga mengingatkan yang mana keluarga mereka berhak diberi privasi dan dihormati.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua rakan-rakan media yang hadir, yang telah sabar menunggu dan memberi kerjasama yang baik serta memberi ruang kepada kami untuk melakukan ibadah umrah sehingga hari ini,” kata Fazura.
Pabila ditanya oleh pihak media kenapa mereka melambatkan proses untuk menjelaskan berita tersebut, Fazura menjawab, “Berita-berita macam ini semestinya kami mahu kongsikan kepada semua. Jadi, kenapa kami lambat berkongsi akan berita ini kerana kami mahu memfokuskan pada ibadah umrah terlebih dahulu. Kalau kami umumkan perkara itu lebih awal, berita itu akan keluar selama berminggu-minggu dan bagaimana kami mahu fokus pada ibadah. Kami sememangnya berniat untuk kongsi berita baik ini selepas kami balik. Tapi disebabkan dah macam-macam spekulasi yang keluar, kami buat juga sidang media pada petang ini walaupun penat kami kuatkan juga kerana kami rasa yang kita perlu cepat umumkan berita ini.”
Menolak dakwaan yang mana mengatakan majlis pertunangan mereka diadakan secara tergesa-gesa, Fattah menerangkan yang mana segalanya sudah dirancang lebih awal dan tiada sebarang konsep tergesa-gesa.
Ditanya bilakah jangkaan tarikh untuk mereka bernikah, Fazura menjawab, “InshaAllah resepsi tahun depan. Tapi nikah InshaAllah kalau segalanya berjalan lancar dengan kursus perkahwinan serta persiapan dokumen pernikahan, tidak lama lagi.”
EH! mengucapkan tahniah buat pasangan Fattah Amin dan Fazura atas pertunangan dan semoga segalanya berjalan dengan lancar ke hari pernikahan seterusnya ke alam perkahwinan kelak.