Jam tepat menunjukkan pukul 2 petang pabila Fikry Ibrahim tiba di set penggambaran untuk sesi penggambaran kali ini. Pelakon dan pengacara berusia 25 tahun ini tidak lekang dengan senyuman sepanjang penggambaran malah dengan hanya beberapa arahan mudah, dia dengan pantas dapat menangkap ‘angle’ yang kami inginkan. Pabila saya berpeluang untuk menemubual Fikry, dia sempat bercerita bahawa dia baru sahaja selesai penggambaran untuk drama bersiri tayangan Astro iaitu Encik Iman Ekspres dan cerekarama untuk TV3 selain program pengacaraan, Hotspot terbitan RTM.
“Jadual saya agak padat sekarang malah hujung bulan ini (temubual diadakan pada bulan April) saya akan mula penggambaran untuk drama bersiri pertama saya dengan TV untuk slot Akasia yang mana saya bakal menjadi pelakon utama bergandingan dengan Farah Nabilah sekali lagi. Sebelum ini saya pernah berlakon dengan Farah untuk siri komedi Cik Reen Encik Ngok Ngek. Saya akui saya agak teruja untuk drama ini kerana saya tidak sabar untuk saksikan sendiri impact nya. Selalu saya dengar orang berkata bahawa jika bekerja dengan TV, exposure lebih tinggi namun bagi saya jika kualiti kerja tidak bagus, tidak guna juga exposure tersebut,” ujar jejaka kelahiran Jitra, Kedah ini. Pabila berbicara, Fikry lebih senang berbual dengan tangan bahkan aksen Kedahnya yang pekat juga membuatkan temubual ini lebih menarik. “Yes, I was born and raised in London,” lawak spontan Fikry pabila saya menegur aksennya. “Kadang kala saya tidak sedar akan aksen ini. Pabila saya bekerja terutamanya ketika menjadi hos kecuali jika ada yang request, saya akan cuba untuk bertutur sebaik yang mungkin.
Bagi saya, aksen perlu tolak ke tepi agar di kaca televisyen saya tampak lebih proper,” tambahnya lagi. Program reality Lawak Solo adalah platform pertama yang menyaksikan kehadiran Fikry Ibrahim dalam industri seni malah dia berjaya mendapat tempat ketiga dalam program tersebut. Namun selepas beberapa bulan selesainya program ini, Fikry dapati dirinya tanpa sebarang tawaran kerja lantas mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. “Tidak lama kemudian, saya mendapat tawaran daripada TV3 untuk menjadi hos program kembara Jalan Jalan Makan Angin. Selepas itu, muncul pula beberapa tawaran untuk berlakon drama. Lucunya saya bermula dengan komedi, namun mungkin rezeki saya lebih kepada lakonan,” ujarnya.
Lakonannya bersama Fattah Amin, Fazura dan Uqasha Senrose dalam Hero Seorang Cinderella mula mencuri perhatian ramai. Tawaran untuk berlakon mula melimpah, dan antara lakonannya termasuk untuk drama Rahsia Hati Perempuan dan Kerna Syurga Bukan Percuma serta telefilem Pok Ya Cong Codei dan Enam/6. Walaupun tahun ini adalah tahun ketiganya ‘bermain’ di gelanggang industri, popularitinya naik dengan pantas apatah lagi setelah dinobatkan untuk Artis Lawak MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2018 dan Artis Baru Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017. “Saya akui pada mulanya saya takut saya akan burnout terlalu awal. Namun pada masa yang sama saya dapati perjalanan kerjaya saya tidak terlalu laju walaupun saya lakukan banyak perkara. Cuma saya akan elakkan untuk lakukan semuanya sekaligus. Sebagai contoh, jika saya berlakon drama bulan ini, saya akan elak untuk menjadi hos sebentar kerana saya enggan orang jemu dengan saya. Bagi saya strategi untuk mencari makan itu penting.
Saya faham ada sesetengah selebriti perlu berlakon back-to-back bagi kelangsungan hidup. Namun jika kita mempunyai strategi pemasaran yang lebih baik, mungkin jangka hayat dalam industri akan bertahan lebih lama,” jelasnya lagi. “Apa satu perkara yang anda paling tidak jangka pabila menyertai industri ini?” soal saya. Dengan tenang, dia menjawab “sebenarnya saya ingat semua orang dalam industri ini happy. Ia indah khabar dari rupa. Jika saya berada di satu posisi untuk ubah industri ini, saya ingin ubah sikap keprofesionalan. Jujur saya katakan, ia sangat teruk. Keprofesionalan dalam industri seni tempatan ini termasuk disiplin, pengurusan masa, etika kerja dan sebagainya. Saya sedar kebanyakan orang hanya pentingkan duit sahaja. Kita pun bukan boleh buat apa kerana kita sendiri bukan penerbit. Di Hollywood sebagai contoh, mereka tahu apa peranan mereka sebagai seorang penerbit. Bukan hanya kerana anda berduit, anda ingin menerbit filem atau drama. Contohnya ada sesetengah penerbit dia mungkin tidak tahu maksud terma tersebut. Ada yang sibuk terlalu menjaga penampilan kita sehinggakan ia menganggu lakonan dan masa. Ada juga tidak menjaga call time artis, apatah lagi tidak membuat promosi yang sepatutnya.”
Jejaka 25 tahun ini juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam) akui dia seringkali lupa bahawa ramai memerhatikannya pada permulaan karier. “Pernah sekali, saya turun dari rumah untuk makan di sebuah kedai dan saya sudah terbiasa dengan helaian biasa seperti seluar cetakan petak, baju rona hijau dan kasut rona biru. Sememangnya penampilan saya selekeh hari itu. Di kedai pula, ada yang meminta untuk mengambil gambar besar. Takkan saya harus menolak pula. Jadi sejak daripada insiden tersebut, saya mula peka dengan penampilan,” katanya. Fikry menjelaskan bahawa ada beberapa perkara tentang peminat yang kurang dia gemari termasuk sikap sesetengah mereka yang tidak menghormati privasi selebriti. “Orang Melayu ada adab tinggi, sifat baik serta berbudi pekerti. Jadi pabila ada peminat yang tidak menghormati privasi saya atau tidak beradab, saya benar-benar tidak gemar akan situasi ini. Ya, social media is the new fairy tale.
Pabila wujudnya sosial media ini, semua ingin menjadi orang pertama menangkap gambar. Dan apa sahaja yang kita lakukanmereka ingin rakamkan. Saya tidak kisah cuma kalau boleh, jangan ambil gambar saya sedang makan atau saya sedang mencuci tangan di tandas. Ada juga yang mengambil gambar kita secara kandid, pabila ‘terkantoi’, mereka hanya memandang tempat lain dan buat muka sombong. Sepatutnya minta maaf dan berbicara jujur!,” jelasnya. Selain berlakon, Fikry juga menjadi seorang hos buat beberapa rancangan kembara seperti Jalan Jalan Makan Angin, Solo Yolo, Exparian dan terkini Hotspot. Selain daripada itu, dia juga mengacarakan rancangan siaran langsung iaitu Gema Gegar Vaganza. Dia akui mengawal reaksi sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku sebenarnya perkara paling sukar dalam pengacaraan. “Sebelum ini ketika saya menjadi hos, saya tersalah sebut tentang VT walhal menurut penerbit VT tiada untuk segmen tersebut. Cepat-cepat saya membetulkan kesilapan dengan ujar ia hanya satu gurauan sahaja. Saya bertuah ia hanya kesilapan biasa, sekiranya besar mungkin saya akan menjadi lebih gemuruh,” ujarnya mengakhiri bicara.