Tiger Stripes (Tunjuk Belang) arahan sulung Amanda Nell Eu mengaum di pentas Cannes sebagai filem Malaysia yang pertama terpilih untuk Minggu Pengkritik 2023.
Filem cereka sulung Ghost Grrrl Pictures berjudul TIGER STRIPES (Tunjuk Belang), arahan Amanda Nell Eu bersama penerbit Foo Fei Ling, telah dipilih secara rasmi untuk Minggu Pengkritik Cannes (Cannes Critics’ Week) yang merupakan salah satu acara berprestij di Festival Filem Cannes 2023. Minggu Pengkritik Cannes yang telah mencapai edisi ke-62 memberi tumpuan khusus kepada filem cereka pertama atau kedua dari pengarah baru.
Pengarah tersohor seperti Alejandro González Iñárritu, Guillermo Del Toro, Wong Kar Wai, adalah antara pengarah yang telah menempah nama di Minggu Pengkritik Cannes. Hanya ada tiga filem Malaysia yang terpilih untuk Cannes sebelum ini dan penyertaan rasmi Tiger Stripes ke acara berprestij ini adalah pencapaian penting untuk pembangunan industri filem tempatan.