Majlis persandingan pasangan pengantin Di-Raja Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bin Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Raja Muda Selangor dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz berlangsung dengan penuh adat istiadat.
Keanggunan adat istiadat Melayu dan kehalusan tradisi Di-Raja kembali menyerikan Negeri Selangor apabila DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang penuh khidmat dan penuh makna.
Sesi akad nikah yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah itu turut dihadiri oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berangkat menyaksikan momen bersejarah tersebut.
Sebagai tanda sempurnanya istiadat utama, sebanyak 11 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja menggegarkan udara Klang, membawa maksud simbolik keberangkatan serta doa kesejahteraan pasangan Di-Raja ini.
Mengikut adat dan susur galur tradisi Di-Raja Selangor, perkahwinan ini disusun dengan penuh teliti dalam beberapa peringkat istiadat yang bertahap.
Bermula dengan Istiadat Pernikahan Di-Raja yang berlangsung pada Khamis di Masjid Istana Di-Raja, Istana Alam Shah, majlis tersebut menjadi saksi penyatuan dua jiwa di hadapan keluarga, kerabat Di-Raja dan tetamu terpilih.
Selepas itu, kemeriahan istiadat bakal diteruskan dengan Istiadat Persandingan Di-Raja yang dijadualkan pada 22 Oktober di Balairung Seri, Istana Alam Shah.
Acara penuh adat ini akan memperlihatkan pasangan mempelai diraja bersemayam di pelamin indah, diraikan dengan penuh gilang-gemilang.
Sebagai kemuncak perayaan Di-Raja, Majlis Santapan Di-Raja pula akan berlangsung pada tarikh yang sama di Balai Santapan Di-Raja.
Majlis ini melambangkan penghormatan dan doa restu daripada seluruh rakyat jelata terhadap pasangan Di-Raja yang baru sahaja mengikat janji.
Baca: Kenali Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz, Bakal Isteri Raja Muda Selangor