Aktor pujaan ramai, Song Joong Ki dan aktres Itali kelahiran Britain, Katy Louise Saunders sah bergelar suami isteri Januari lalu dan dikurniakan cahaya mata pada bulan Jun.
Kebelakangan ini Song Joong Ki dilaporkan sibuk mempromosi filem terbarunya, Hopeless di Korea Selatan. Isterinya pula berada di kampung halamannya di Rom sejak melahirkan anak lelaki mereka.
Disebabkan itu pasangan merpati dua sejoli ini jarang dilihat bersama. Kali terakhir foto mereka dirakam lensa paparazi adalah pada April lalu ketika sedang meluangkan masa bersiar di bandar Rom.
Justeru peminat amat teruja apabila melihat foto terkini pasangan itu di majlis perkahwinan adik perempuan Song Joong Ki di Seoul hujung minggu lalu. Ini merupakan kali pertama suami isteri itu muncul bersama selepas anak sulung mereka dilahirkan.
Pada majlis itu, Katy menggayakan set persalinan bercorak gingham bersama kot labuh sedondon. Gayanya disempurnakan dengan beg tangan dan sepatu tinggi rona hitam. Bintang Vincenzo itu pula segak dalam sut hitam dipadankan bersama kemeja putih.
Katy dilaporkan terbang dari kampung halamannya untuk meraikan hari bahagia itu bersama pengantin baru dan keluarga mentuanya. Kehadiran ibu bapa baru itu menjadi tumpuan para tetamu sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam dewan.
Walaupun dikerumuni hadirin yang tidak henti mahu merakam swafoto, aktor berusia 38 tahun kekal setia di sisi Katy sambil memaut pinggang isterinya agar lebih rapat dengan tubuhnya. Sisi romantis Song Joong Ki juga terserlah apabila tidak henti menatap wajah isterinya depan penuh rasa cinta. Sekali gus membuatkan peminat ‘naik gila’.
Netizen Memujai Song Joong Ki dan Katy Louise Saunders
Menerusi ciapan di X, peminat meluahkan rasa teruja melihat foto pasangan itu yang tular di laman tersebut. “Mereka nampak secocok dan jelas Joong Ki amat mencintainya. Semoga Tuhan sentiasa melindungi keluarga kecil mereka.”
Seorang lagi peminat pasangan itu menulis, “Cantiknya isteri Joong Ki. Mereka nampak bahagia bersama. Ibu bapa paling comel yang pernah saya lihat.”
Dalam wawancara bersama Newsroom sempena mempromosi filem Hopeless baru-baru ini, Song Joong Ki meluahkan rasa tidak percaya kerana kini telah memiliki seorang cahaya mata. Dia turut mendedahkan perubahan hidupnya setelah bergelar bapa.
“Saya dan isteri bersemangat melakukan tugas ibu bapa dengan baik bersama-sama. Kami memberi sokongan kepada satu sama lain, dan ini sesuatu yang membanggakan buat diri saya. Kehidupan saya kini dilimpahi kebahagiaan,” katanya.
Baca: Song Joong Ki & Katy Louise Saunders Terpaksa Berpisah Demi Projek Terbaru