Dua bintang besar, G-Dragon dan Jisoo BLACKPINK, kini berada di bawah label muzik EMPIRE, sebuah syarikat rakaman bebas milik Palestin yang diasaskan oleh Ghazi Shami. Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan peminat global tetapi juga mencerminkan sokongan mereka terhadap industri muzik bebas yang mempunyai visi tersendiri.
Baru-baru ini dunia muzik dikejutkan dengan G-Dragon yang telah membuka lembaran baharu dalam karier solonya dengan menandatangani kontrak bersama EMPIRE. Keputusan ini mendapat pujian ramai, bukan sahaja kerana ia memberikan kebebasan kreatif kepada penyanyi ikonik BIGBANG ini, tetapi juga kerana ia memberi manfaat kepada inisiatif amal yang disokong oleh label milik Palestin tersebut.
Dengan pelancaran single ‘Power’, G-Dragon kembali selepas tujuh tahun menyepi, menandakan era baru yang lebih bebas dan penuh eksperimen muzik. Peminat sudah tentu tidak sabar untuk melihat hala tuju baharunya bersama label yang terkenal dengan fleksibiliti dan pendekatan inovatif dalam pengedaran muzik.
Kini, giliran Jisoo pula untuk mencuri perhatian. Bintang BLACKPINK ini bukan sahaja menandatangani kontrak dengan Warner Records untuk karier solonya, tetapi turut menyertai EMPIRE untuk urusan pengedaran muziknya. Keputusan ini membuktikan bahawa Jisoo serius dalam membina jenama solonya dan ingin meneroka lebih banyak peluang di luar industri muzik Korea.
Bagi yang belum mengenali EMPIRE, label ini diasaskan pada tahun 2010 di San Francisco dan kini mempunyai pejabat di New York, London, Lagos, dan Johannesburg. Selain G-Dragon dan Jisoo, EMPIRE juga pernah bekerja dengan nama-nama besar seperti Kendrick Lamar, Cardi B, Rich Brian, dan NIKI.
Tindakan dua ikon K-Pop ini membuktikan bahawa muzik tidak mengenal batasan, dan para artis kini semakin bebas dalam menentukan hala tuju karier mereka. Adakah ini permulaan era baharu untuk artis K-Pop yang ingin lebih banyak kawalan terhadap muzik mereka? Kita tunggu dan lihat!
Artikel Berkaitan: Pelakon Korea Dengan Bayaran Tertinggi Tahun 2024