Buat pertama kalinya, Blu Inc Media menampilkan sebuah mini siri empat episod yang menggandingkan Miller Khan dan Ain Edruce sempena pameran pengantin Inspirasi Cinta yang mempamerkan 22 busana pengantin selebriti ternama tanah air yang berlangsung dari 9 sehingga 22 April di Pavilion KL.
Mini siri Inspirasi Cinta ini mengisahkan tentang satu pasangan yang terpisah selama lima tahun lamanya dan akhirnya takdir seakan tertulis yang mereka bertemu semula tanpa disangka.
Ardiansyah, watak yang digalas oleh Miller merupakan seorang anak yang taat pada perintah bondanya. Perpisahan antara Ardiansyah dan Melissa, yang dilakonkan oleh Ain sebenarnya disebabkan tidak mendapat restu dari bonda Ardiansyah.
Sekembalinya Ardiansyah ke tanah air selepas lima tahun, pada masa sama dirinya mahu mencari sesuatu yang hilang dalam kehidupannya, dia secara kebetulan telah bertemu dengan cinta hatinya yang lama iaitu Melissa di tempat yang pernah termeterainya cinta mereka satu ketika lalu.
Biarpun pada mulanya, Melissa seakan menolak dari bertemu dan berhubungan kembali dengan Ardiansyah yang cuba untuk mendekati dirinya semula kerana takut dikecewakan kesekian kali, namun akhirnya kisah cinta mereka berakhir dengan kebahagiaan yang diimpikan iaitu sebuah perkahwinan serta restu dari bonda Ardiansyah.
Kisah cinta yang hadir dalam empat episod ini merupakan hasil karya gabungan enam platform digital majalah berbahasa Malaysia di bawah satu bumbung Blu Inc Media iaitu EH!, GLAM, GLAM Lelaki, GLAM Deko, COSMOPOLITAN dan Jelita. Penggambaran mini siri yang mengambil masa selama tiga hari ini mengambil tempat di New World PJ Hotel yang terletak di Kelana Jaya. Gandingan Miller dan Ain sememangnya satu pilihan yang tepat untuk drama ini kerana masing-masing nyata hebat menggalas watak yang dipinta.
Untuk mini siri drama ini, lagu ciptaan Yubi Band berjudul Malam Bintangmu serta Jamiel Said bertajuk Cincin Di Jari menjadi pilihan untuk menyempurnakan mood mini siri cinta ini. Dalam mini siri ini, Miller diserikan dengan pakaian dari Qie Rahman, Cuffz, Fred Perry dan Hi Style. Manakala, Ain pula digayakan dengan pakaian dari Innai Red, Cos, Mango, Bershka, Zara, dan H&M. Kedua-dua bintang utama ini ditata rias dengan sentuhan jurusolek terkenal tempatan, Emmy Agung. Kedua-dua bintang ini turut diserikan dengan barangan kemas dari Tiffany & Co yang menyempurnakan lagi babak hari bahagia mereka.
EH! himpunkan beberapa gambar di sebalik tabir pembikinan mini siri drama Inspirasi Cinta di bawah.