Anugerah Stail EH! 2017 telah berlangsung dengan jayanya malam tadi yang mengambil tempat di Ruyi & Lyn, Bangsar Shopping Centre.
Penuh meriah dengan kehadiran para selebriti terkenal tempatan, acara anugerah tahunan EH! sememangnya hangat apatah lagi pabila dipersembahkan dengan persembahan istimewa dari beberapa penyanyi popular termasuklah Ayda Jebat, Dayang Nurfaizah, Altimet serta yang bakal mewarnai industri muzik selepas ini iaitu Nazim Othman.
Tidak lengkap sebuah acara penganugerahan dengan kehadiran rakan media yang turut menjayakan majlis gemilang ini iaitu dari HLive serta kenalan media yang lain.
Anugerah Stail EH! yang mengangkat tema pakaian ‘I am what I wear‘ kali ini, membuatkan rata-rata tetamu dan selebriti yang hadir tampil dengan busana serta penampilan yang cukup gah dan bergaya.
Tidak hanya menjemput barisan selebriti ternama, malah juga termasuklah jurusolek selebriti serta pereka fesyen terkenal tempatan. Turut hadir ke acara penganugerahan EH! ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Blu Inc Media iaitu Datin Azliza Ahmad Tajudin.
Acara dimulai dengan persembahan pembukaan oleh Ayda Jebat yang mendendangkan lagu viralnya iaitu Nakal,Nakal, Nakal. Nazim Othman buat julung kalinya mempersembahkan single terbarunya yang berjudul Kerana Cinta turut mendapat sambutan hangat dari tetamu yang hadir.
Dayang Nurfaizah telah membuat persembahan kejutan pada malam acara ini dengan membawakan lagu baharunya yang bertajuk Separuh Matiku Bercinta dan diikuti dengan persembahan dari Altimet dengan dua buah lagu iaitu Seru dan Amboi Amboi Amboi.
Hunny Madu telah dipilih untuk mengacarakan sepanjang majlis penganugerahan EH! ini berlangsung serta beberapa artis jemputan dipanggil ke atas pentas untuk menyampaikan anugerah kepada pemenang.
EH! ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah buat pemenang-pemenang Anugerah Stail EH! serta terima kasih kepada pembaca-pembaca EH! yang sentiasa menyokong EH! dari dahulu sehingga sekarang.
EH! kongsikan gambar di sekitar malam Anugerah Stail EH! 2017 di bawah.