Majlis pelancaran kedai pertama Juiceco di Malaysia yang berlokasi di Bangsar sesak dengan peminat-peminat Kareena Kapoor Khan.
Kareena Kapoor Khan telah dijemput sebagai tetamu istimewa ke acara perasmian itu demi untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Kira-kira 1,000 orang peminat membanjiri Jalan Telawi Bangsar yang menantikan kehadiran bintang Bollywood itu.
Juiceco merupakan kedai menjual jus buah-buahan pertama terbesar di Malaysia yang menyajikan 200 variasi jus buah-buahan dan sayur-sayuran. Dengan harga yang ditawarkan serendah RM5 ke RM15 untuk setiap gelas.
Kareena yang turut hadir ke acara perasmian itu turut berkongsi pilihan jus kesukaannya kepada pihak media iaitu perisa Jamaica.
“Sebab saya memilih jus Jamaica adalah kerana ia mengandungi campuran ais krim di dalamnya. Ia menjadi kesukaan saya. Bagi saya, siapa yang tidak sukakan ais-krim bukan?” ujar Kareena ketika berada di sidang media di majlis pelancaran itu.
Ketibaan Kareena di majlis tersebut menerima sorakan hebat dari peminat-peminatnya yang rata-rata sanggup menunggu selama dua jam di situ. Sebelum itu, Juiceco sempat membuat pertandingan menerusi media sosial yang mana memperuntukkan peserta untuk menulis sebab kenapa mereka mahu berjumpa dengan bintang Bollywood itu.
Menerusi pertandingan itu, seramai 200 orang pemenang telah memperoleh peluang untuk bergambar bersama isteri kepada Saif Ali Khan itu. Selepas selesainya upacara pemotongan riben sebagai tanda pembukaan kedai tersebut, telah berlaku sedikit kekecohan yang mana peminat berasak-asak untuk melihat pelakon Bajrangi Bhaijaan itu dengan lebih dekat sehinggakan ada yang menolak petugas media di situ.
Namun keadaan kembali terkawal pabila pihak kakitangan keselamatan cuba mententeramkan keadaan itu sekaligus membolehkan pihak media untuk melangsungkan sidang media bersama Kareena di premis itu.
Meskipun begitu, Kareena dilihat cukup profesional serta menjawab segala pertanyaan dalam keadaan yang tenang. Dia turut menyatakan rasa terujanya pabila dapat kembali ke Malaysia untuk kali ketiga kerana baginya, ia buatkan dirinya berasa berada di rumah sendiri.
“Saya sayangkan Malaysia. Saya boleh kata setiap kali saya datang ke sini, saya berasa seperti saya berada di rumah sendiri. Malah, dengan adanya Juiceco ini, peminat saya akan merasa seakan lebih dekat dengan saya,” jelasnya.
EH! yang turut menghadiri acara perasmian Juiceco Malaysia sempat mengambil beberapa keping gambar aktres popular itu di lokasi. Jom lihat himpunan gambar Kareena Kapoor.