Malam tadi telah berlangsungnya majlis penuh istiadat persandingan Diraja buat puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan pilihan hatinya, Dennis Muhammad.
Upacara penuh adat istiadat itu diadakan secara gilang-gemilang di Istana Besar Johor Bahru. Laporan Royal Press Office (RPO) menyatakan yang mana pasangan pengantin Diraja itu berangkat dari Istana Bukit Serene menuju ke Istana Besar menaiki kereta antik Mercedes Limousine Covertible turut diiringi pengiring bermotosikal dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ASTN)
Tibanya di Istana Besar, pasangan pengantin Diraja disambut dengan paluan kompang serta bunga manggar. Tunku Tun Aminah dan pasangannya tampil menawan dengan busana tradisional Johor, baju kurung dan baju Melayu teluk belanga berona serba putih.
Istiadat persandingan Diraja itu dihadiri 1,200 tetamu yang turut disaksikan anggota kerabat Diraja serta orang kenamaan. Bahkan, sekalian rakyat jelata Johor juga berpeluang menyaksikan istiadat itu menerusi dua skrin gergasi di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan bangunan MBJB.
Keberangkatan masuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Istana Besar pada jam 8 malam tadi.
Istiadat merenjis dan tepung tawar dimulakan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, ibu bapa Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Puteri tunggal Sultan Johor ini selamat bergelar isteri kepada Dennis dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu di Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene pada siang hari.
Pasangan Diraja itu dinikahkan oleh Mufti Negeri Johor Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Johor. Ketika majlis itu, keluarga pengantin perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin lelaki.
Istiadat pernikahan berlangsung sejurus selepas istiadat pertunangan dan majlis pertukaran hantaran. Selepas selesai ijab dan kabul dengan sekali lafaz, Dennis kemudian dibawa ke bilik tingkat atas bagi menyempurnakan istiadat menyarung cincin di jari manis tangan kanan Tunku Tun Aminah serta menyerahkan mas kahwin berjumlah RM22.50.
EH! kongsikan beberapa keping gambar di sekitar majlis pernikahan dan istiadat persandingan YAM Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad.