Tahniah buat Bella Dally yang selamat bergelar isteri kepada Arif Izuddin Mohd Radzali! Semoga selamat melayari bahtera perkahwinan dengan kebahagiaan berpanjangan.
Dengan sekali lafaz, Bella Dally sah menjadi isteri kepada cinta hatinya yang mana seorang ahli perniagaan pada Ahad (31 Mac 2019). Bertempat di Marina Putrajaya, pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Cerai dan Rujuk, Wan Mohd Adlan Wan Salleh pada jam 9.55pagi.
Majlis akad nikah tersebut dihadiri oleh kaum keluarga serta sahabat terdekat mereka. Bella menerima RM1,000 tunai untuk mas kahwinnya berserta tujuh dulang hantaran dari Arif dan kemudian membalas sembilan dulang hantaran.
Bella dan Arif bertemu hanya pada Ogos tahun lalu. Tidak lama selepas itu, mereka mengikat tali pertunangan, dan kini sah menjadi pasangan suami isteri. Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, Nazim Othman dari 10 September 2016 dan kemudian mengakhiri hubungan mereka pada 2 Mei 2018.
Pelakon cantik menawan ini dilihat menyarung busana serba putih rekaan Mimpi Kita Bridal ketika majlis pernikahannya. Bahkan, ketika majlis resepsinya di sebelah malam, Bella turut memilih rekaan pereka fesyen yang sama.
Wajah Bella yang sememangnya cantik mulus pula mendapat sentuhan dari jurusolek Azni Hadi. EH! kongsikan gambar di sekitar majlis pernikahan dan perkahwinan Bella Dally dan Arif Izuddin.