Pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2017 bukan milik Gigi Hadid kerana model terkenal ini dikatakan telah disekat dari memasuki China gara-gara isu perkauman yang mengaitkannya sebelum ini.
Victoria’s Secret Fashion Show 2017 bakal berlangsung pada 20 November ini di Shanghai, China. Tidak seperti sebelum ini, kali ini pertunjukan fesyen pakaian dalam mewah ini tidak akan menampilkan Gigi Hadid serta beberapa orang model lain sebagai angel VS kerana mereka dilaporkan menarik diri dari acara pentas fesyen berprestij ini.
Baca : Neelofa Bakal Sertai Victoria’s Secret Fashion 2017
Laporan media dari China mengesahkan Gigi Hadid dan empat model lagi iaitu Julia Belyakova, Kate Grigorieva, Irina Sharipova dan Dasha Khlystun tidak akan beraksi di pentas peragaan Victoria’s Secret 2017. Gigi menerusi akaun Twitternya mengesahkan menarik diri atas sebab yang tidak dijelaskan.
Manakala empat model lain yang berasal dari Rusia dan Ukraine disahkan tidak dibenarkan masuk ke China kerana visa mereka tidak diluluskan.
Beberapa media melaporkan ini kerana terdapat isu seorang model kanak-kanak berusia 14 tahun dari Rusia, Vlada Dzyuba mati selepas dikatakan terlalu penat bekerja sebagai model peragaan.
Baca : Siapa Model Terpilih Memakai Fantasy Bra Bernilai $USD2 Juta Victoria’s Secret Tahun Ini?
Pihak China menyekat model kelahiran Rusia dan Ukraine daripada bekerja di sana selagi kes kematian Vlada tidak diselesaikan.
Manakala Gigi pula dilaporkan disekat atas sebab pernah memuat naik video berbaur perkauman terhadap bangsa Cina di Instagramnya pada awal tahun ini.
China memang terkenal dengan tindakan menyekat masuk beberapa selebriti antarabangsa atas sebab pernah mengeluarkan kenyataan sensitif terhadap negara itu serta berkelakuan tidak bermoral. Antara selebriti yang disekat ke negara China ialah Justin Bieber, Miley Cyrus, Brad Pitt, Jay Z dan ramai lagi.