Sharifah Rose, terus mengembangkan bakatnya ibarat kuntuman yang mekar indah, semakin menyerlah dan mewangi dalam industri seni tanah air.
Perwatakannya yang lemah lembut, tutur katanya sopan, dan senyumannya manis, begitulah aura semula jadi Sharifah Rose yang mudah mencuri perhatian dan menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendekatinya.
Wajah yang kini tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan, Rose mula mencipta nama sebagai personaliti media sosial sebelum mengorak langkah ke dunia lakonan dan pengacaraan. Dikenali dengan penampilannya yang anggun serta gaya yang sentiasa segar dan menawan, Rose mula menambat hati peminat menerusi drama bersiri popular “Kekasih Hati Mr. Bodyguard”, diikuti beberapa naskhah lain yang terus melonjakkan namanya. Selain aktif sebagai pelakon, dia turut menjadi pilihan pelbagai jenama ternama sebagai duta dan wajah kempen dalam industri fesyen serta kecantikan tanah air.
Jika Rose boleh berbual dengan diri Rose ketika baru mula berkecimpung dalam industri ini, apakah nasihat yang Rose akan beri?
“Mungkin sekarang nampak susah, tapi ia akan berbaloi sebab saya tahu awak bekerja keras, dan satu hari nanti awak akan hargai hari yang susah itu. Nikmati masa paling rendah dalam hidup awak sama seperti awak nikmati masa paling indah.”
Apakah momen paling ‘main character’ yang pernah Rose alami dalam hidup?
Semasa cover shoot pertama saya dengan EH, sebab pada waktu tu, keyakinan diri saya sangat rendah lepas saya terpaksa lalui banyak kritikan dari media sosial.
Tapi kemudian, Bidin panggil saya untuk buat cover shoot, dan saya rasa jauh lebih baik pada hari tu. Bekerja dengan Bidin pun sangat menyenangkan, dia sentiasa pastikan saya rasa okay dan jadi versi terbaik diri saya sepanjang sesi penggambaran.
Apakah satu perkara tentang diri Rose yang paling banyak berubah sejak kecil hingga sekarang?
Masa saya masih muda, saya sangat lembut dan sangat bergantung pada apa yang orang cakap tentang saya.
Tapi sekarang, saya jauh lebih yakin dengan apa yang saya nak, dan apa sahaja yang datang dalam hidup saya, saya tak akan benarkan ia mempengaruhi keputusan saya. Saya rasa sekarang, saya masih lembut juga, tapi saya ada pendirian yang jauh lebih kuat.
Bagaimana Rose menghadapi ketidakpastian dalam hidup?
Saya rasa bila berdepan dengan uncertainty, saya akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan nasihat daripada orang-orang yang saya hormati dan rapat, seperti ibu bapa saya, kawan-kawan, dan orang sekeliling yang saya percayai.
Saya perlukan perspektif yang berbeza untuk bantu saya buat keputusan yang lebih baik. Semua itu mendorong saya untuk terus maju walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Apa yang mendorong Rose untuk terus maju walaupun menghadapi cabaran?
Untuk menjadi versi terbaik dan paling berjaya diri saya sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Kerana saya tahu, apabila sudah berkeluarga nanti, akan ada pengorbanan yang berbeza yang perlu saya lakukan.
Sejak kecil lagi, saya sudah menyimpan impian yang besar dan saya akan lakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mencapainya. Impian itu adalah milik saya, dan saya berpegang teguh padanya.
Apakah ada momen tertentu di mana Rose rasa paling bebas dan yakin dengan diri anda?
Ketika saya berjaya keluar daripada fasa kemurungan. Satu titik paling rendah dalam hidup saya, selepas saya terpaksa berhenti belajar untuk menceburi bidang lakonan.
Ketika itu, saya juga melalui beberapa perpisahan yang betul-betul menggugat keyakinan diri dan harga diri saya. Saya berada dalam keadaan yang sangat rapuh. Tapi apabila saya berjaya bangkit dan keluar daripada fasa itu, saya rasa begitu bebas, tenang, dan damai dengan diri sendiri. Saya mula fokus pada diri saya, dan dari situ saya temui ketenangan yang sebenar.
Siapakah wanita yang paling memberi inspirasi dalam hidup Rose, dan mengapa?
Wanita inspirasi adalah mereka yang paling dekat dalam hidup saya, ibu saya dan juga rakan-rakan terdekat. Mereka inilah yang banyak mempengaruhi setiap keputusan yang saya buat dalam kehidupan seharian.
Mereka bukan sahaja menjadi sumber kekuatan, malah menjadi contoh yang saya jadikan inspirasi untuk terus melangkah ke hadapan.
Dalam pandangan Rose, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh wanita dalam kerjaya dan kehidupan seharian, dan bagaimana kita boleh mengatasi cabaran ini?
Apabila perlu bergantung pada orang lain. Kerana saya dibesarkan oleh ibu saya yang sangat rajin dan berdikari, Jadi, saya pun terbiasa untuk melakukan segala-galanya sendiri. Saya tak ada pembantu peribadi untuk temankan saya ke lokasi penggambaran atau apa-apa urusan kerja.
Saya tahu bagaimana untuk menjaga diri sendiri. Dan setiap kali saya ke mana-mana, mesti ada yang bertanya, “Kenapa tak ada orang teman?” atau “Kenapa datang sorang-sorang?” Tapi bagi saya, perkara itu sangat normal, untuk berdikari dan tidak bergantung pada sesiapa, asalkan kita tahu bagaimana untuk jaga diri sendiri.
Bagaimana Rose menyokong sesama wanita, sama ada melalui kerjaya atau dalam kehidupan peribadi?
Girl’s talk. Ia sangat penting, terutamanya bila kita jumpa orang baru atau pergi ke event. Saya rasa, girl’s talk ni lah yang bantu kita untuk saling menaikkan semangat antara satu sama lain.
Sebab kebanyakan perempuan pun melalui cabaran hidup yang lebih kurang sama. Mungkin caranya berbeza, tapi sebenarnya hampir serupa. Jadi, ia boleh bantu bagi perspektif yang berbeza dan saling membantu untuk atasi cabaran yang kita hadapi, dan dalam masa yang sama beri sedikit suntikan keyakinan antara satu sama lain.
Sebagai seorang selebriti wanita, adakah Rose pernah menghadapi stigma atau stereotaip tertentu? Bagaimana Rose menanganinya?
Mungkin orang fikir saya tak boleh buat sesuatu dengan bagus. Dan satu lagi, bila dibandingkan dengan tenaga lelaki. Stereotaip yang saya selalu dengar ialah macam, lelaki lagi senang nak dapat peluang yang lebih besar, dari segi pekerjaan atau apa-apa pun, sebab kononnya mereka ada “charm” tersendiri.
Tapi bagi saya, benda tu tak betul. Selagi kita ada karakter yang kuat, karakter tu yang akan bawa kita pergi jauh. Tak kisah lelaki ke perempuan, karakter kuat itu sangat penting. Dalam bidang yang saya ceburi, saya rasa saya berbeza daripada apa yang orang sering stereotaipkan terhadap perempuan-perempuan lain.
Dalam banyak bidang, wanita sering dinilai berbeza daripada lelaki. Apakah yang perlu dilakukan oleh masyarakat untuk mengurangkan stigma terhadap wanita?
Apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat untuk kurangkan stigma terhadap wanita adalah untuk tidak menjatuhkan atau mengkritik seseorang, terutamanya bila mereka masih baru dalam sesuatu perkara. Sentiasa tunjukkan sokongan walaupun sedikit, ia tetap bermakna.
Masa saya mula berlakon, sokongan tu memang sangat penting. Tapi bila saya terima kritikan paling besar dari media sosial, benda tu memang betul-betul menjatuhkan semangat saya. Sebab tu saya rasa, sokongan daripada masyarakat sangat penting. Masa saya menang anugerah pertama saya, saya rasa lebih baik sebab akhirnya saya dapat sokongan yang saya perlukan.
Apakah pendapat Rose tentang stigma yang wujud terhadap wanita yang memilih untuk tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak?
Saya percaya setiap orang mempunyai laluan hidup yang berbeza. Mungkin ada impian atau matlamat tertentu yang mereka ingin capai, dan itu adalah hak serta pilihan masing-masing.
Saya juga sedang melalui situasi yang sama. Selalu juga saya dengar orang berkata, “Kena kahwin sebelum umur 30,” atau “Kena ada anak sebelum 35,” dan “Kena rancang hidup betul-betul.” Malah ada yang menyuarakan kebimbangan seperti, “Nanti telur tak cukup,” atau “Susah nak beranak lepas umur 30.” Macam-macam pendapat dan tekanan yang diberi.
Tetapi saya percaya, saya telah menyusun hidup saya mengikut apa yang saya impikan dan apa yang membuatkan saya bahagia. Setiap orang bergerak pada fasa dan rentak yang berbeza. Maka, stigma seperti ini tidak seharusnya wujud.
Bagi Rose, apakah definisi kecantikan yang sebenar, dan bagaimana Rose melihat kecantikan luar dan dalam berhubung antara satu sama lain?
Keyakinan diri. Saya rasa semua orang itu cantik dengan cara masing-masing, tapi apa yang membezakan seseorang itu adalah tahap keyakinan mereka. Cara seseorang membawa diri, cara mereka melangkah masuk ke dalam bilik, aura tu boleh dirasai, dan selalunya ia datang daripada keyakinan yang kuat dalam diri mereka.
Bila kita yakin dengan diri sendiri, kecantikan luaran itu secara automatik akan terpancar dan jelas dilihat oleh orang sekeliling. Ia bukan sekadar tentang rupa, tapi tentang bagaimana kita mencintai dan menerima diri sendiri sepenuhnya.
Kecantikan kini banyak dipengaruhi oleh media sosial, bagaimana pandangan Rose mengenai standard kecantikan yang sering ditonjolkan di platform tersebut?
Kecantikan hari ini memang banyak dipengaruhi oleh media sosial. Tapi bagi saya, sangat penting untuk kita kenal pasti kelebihan dan keunikan diri sendiri supaya kita tak mudah membandingkan diri dengan orang lain.
Sebab memang mudah untuk rasa diri tak cukup bagus bila kita tengok orang lain capai macam-macam dalam hidup, muka lebih cantik, hidung lebih mancung, mata lebih menawan, gaya fesyen lebih menarik. Tapi bagi saya, apa yang betul-betul membezakan seseorang itu adalah karakter mereka, keyakinan diri, dan kelebihan yang mereka miliki. Itu yang menjadikan seseorang benar-benar menonjol.
Dalam industri hiburan yang sering menekankan kesempurnaan, bagaimana Rose berani menonjolkan kecantikan asli Rose tanpa terikat dengan standard yang ditetapkan?
Dalam industri ini, memang ada banyak tekanan yang boleh buat kita rasa macam kesempurnaan itu segala-galanya. Tapi saya rasa, jawapan saya masih sama macam yang sebelum ini. Saya tahu apa yang saya mampu dan apa yang saya tak boleh buat. Saya takkan paksa diri untuk buat sesuatu yang saya tahu bukan kekuatan saya contohnya macam menyanyi. Tapi kalau saya buat sesuatu yang saya yakin, saya akan buat sehabis baik.
Kecantikan asli adalah bila kita selesa dengan diri sendiri dan gaya kita sendiri. Penting untuk kita tahu gaya kita macam mana, dan cuba sesuaikan diri dengan trend semasa yang sentiasa berubah. Tapi dalam masa yang sama, jangan sampai hilang identiti sendiri. Sekarang ni memang senang terpengaruh dengan apa yang tengah “in”, baju apa yang cantik, solekan apa yang tengah trend. Tapi kalau kita dah selesa dengan gaya sendiri, dengan rutin sendiri, pegang pada itu. Sebab semua itu yang bantu kita kekal jadi diri sendiri dan kekal dalam karakter kita.
Pernahkah Rose mengalami cabaran atau kritikan kerana cara Rose mengekspresikan kecantikan? Bagaimana Rose Berhadapan dengan situasi itu?
Ya, saya memang pernah alami kecaman dan kritikan kerana cara saya ekspresikan kecantikan, banyak kali. Terutamanya pada hari-hari yang saya rasa tak nak pakai heavy makeup, ataupun masa dulu saya alami breakout yang agak teruk. Saya rasa benda tu normal je, dan saya pun tak rasa perlu nak edit gambar sampai hilangkan semua cela atau smoothen out muka.
Dulu saya pernah kena kecam sebab muka saya tak flawless, tapi bagi saya itu perkara biasa. Dan sebagai seorang figura awam, saya rasa penting untuk tunjukkan sisi sebenar diri kita, termasuk kekurangan dan ketidaksempurnaan. Sebab sekarang ni terlalu ramai yang normalisasikan “kesempurnaan”, sampai orang lupa yang kulit sebenar kita pun ada nilainya. Kulit sebenar itu cantik, dan bentuk badan kita pun berubah, ada hari saya kurus, ada hari saya bloated, chubby, atau nampak berisi. Semua tu normal.
Jadi, penting untuk kita rasa selesa dalam kulit sendiri dulu. Cara saya hadapi kritikan pula, saya ambil constructive criticism sebagai ruang untuk belajar dan jadi lebih baik, tapi yang negatif tu saya ketepikan.
Bagaimana Rose menangani kritikan atau komen negatif?
Mula-mula, saya akan tanya dulu pendapat daripada semua orang yang saya rapat dengan. Kalau perkara itu betul-betul serius dan melibatkan fitnah, ataupun satu bentuk penilaian yang berat yang boleh menjatuhkan saya, mungkin saya akan fikirkan untuk memberi reaksi, demi melindungi diri sendiri.
Tapi kalau saya rasa kritikan itu tidak membawa sebarang manfaat, saya akan memilih untuk mengabaikannya. Sebab bagi saya, jika kita tak memberi perhatian padanya, ia tak akan mengganggu kita.
Jika Rose boleh memberi mesej kepada dunia tentang kecantikan, apakah ia?
Mesej saya kepada dunia tentang kecantikan adalah, cari gaya anda sendiri yang buat anda rasa paling yakin dan paling hebat.
Dan yang paling penting, percayalah pada diri sendiri.